Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Gerakan intelektual, Islamic Renaissance Front (IRF) akan menganjurkan "Seminar Antarabangsa tentang Islam Tanpa Sekterianisme II" di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, pada hari Sabtu ini.
Seminar ini bertujuan membincangkan wacana konflik sektarianisme Sunni dan Syiah yang telah dimanipulasi oleh pihak tertentu demi memenuhi kepentingan politik mereka.
Menyorot kepada beberapa peristiwa yang terjadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, konflik berbaur mazhab telah menggoncang dunia Islam. Kaum Syiah telah diserang dengan ganasnya di Iraq, Bahrain, Pakistan, Indonesia dan Mesir manakala kaum Sunni yang menyertai kumpulan militan IS telah digempur oleh pasukan Syiah di bawah pemerintahan Haider Abadi.
Episod sejarah yang mengaibkan ini tidak harus menjadi justifikasi pasrah untuk menghukum kedua-dua kelompok ini sebagai tidak dapat didamaikan. Dalam sebahagian besar sejarah Islam masih terdapat kehidupan toleransi dan harmoni antara kedua-dua pengikut mazhab ini meskipun masing-masing mempunyai beberapa pandangan perbezaan.
Justeru itu, penganjur berusaha untuk membahaskan isu ini dan mengulangi mesej perpaduan dan toleransi yang pernah digambar dalam Risalah Amman (The Amman Message) pada tahun 2004. Penganjur juga berhatap majlis ini dapat mencetuskan lebih banyak wacana dan dapat menggembling para pemimpin serta masyarakat Islam untuk menolak perpecahan mazhab Sunni dan Syiah yang sengaja dicipta.
Seminar ini akan dirasmikan oleh Al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Anggota Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Al-Ittihaad al-‘Aalami li’ Ulama’i al-Muslimin) dan akan menampilkan Dr Chandra Muzaffar dari International Movement for A Just World (JUST), Prof Azyumardi Azra dari Fakulti Adab dan Kemanusiaan, Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta, Dr Karim Douglas Crow dari Council for Research in Values and Philosophy (RVP) dan Dr Syed Farid Alatas dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).
Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front akan mengaturcara majlis. Majlis akan dilangsungkan pada hari Sabtu, 10 September 2016, di Concorde V, Hotel Concorde, Kuala Lumpur.