Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - seorang Salafi yang masyhur di Lubnan bernama Umar al-Bakri dalam wawancara bersama pemberita al-Jazeera Ghassan bin Jiddu berkata, "Perseteruan saya dengan Syiah terhapus sejak Sayed Hasan Nasrullah memaklumkan beliau mematuhi fatwa Imam Khamenei bahawa penghinaan terhadap Ummul Mukminin adalah haram".
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung wawancara 'Hiwar Maftuh' di saluran Al-Jazeera bersama pemberita terkenal Ghassan bin Jiddu. Tambah beliau lagi, "Saya tersalah sangka bahawa Syiah itu Rafidhah dan mereka mengkafirkan semua sahabat. Namun sejak saya mendengar fatwa Imam Khamenei, saya sudah berhenti menyerang Hizbullah dan Syiah Lubnan".
Umar al-Bakri merupakan salah seorang Salafi yang Masyhur dan paling ekstrim di Lubnan. Selama bertahun-tahun beliau tinggal di England dan berkecimpung dalam subjek penyerangan terhadap Syiah.
Pemimpin agung Revolusi Islam Iran sebelum ini telah mewartakan fatwa haram terhadap sebarang penghinaan terhadap simbol Ahlusunnah dan fatwa tersebut ternyata telah mengubah persepsi dunia Ahlusunnah. Umar al-Bakri adalah salah seorang yang memberi respon positif kesan dari fatwa tersebut. Beberapa hari lalu beliau telah ditahan oleh pihak berkuasa Lubnan selama beberapa hari dan dibebaskan dari penjara. Beliau juga dikatakan telah meminta bantuan beberapa orang tokoh masyhur Lubnan seperti Sayed Hasan Nasrullah.