11 Februari 2011 - 20:30

Rakyat Mesir keluar berhimpun di Dataran Tahrir sambil melaungkan slogan Allahuakbar dan Lailahaillallah sambil bersujud syukur. Kegembiraan kejatuhan diktator ini diiringi pula dengan pengumuman pembubaran Parlimen. Hosni Mubarak, diktator yang digulingkan menyatakan bahawa beliau akan segera lari ke Bahrain atau Emiriah Arab Bersatu. Agensi Berita Ahlul Bait

(ABNA.ir) - Berjuta-juta penunjuk perasaan menyatakan kegembiraan mereka terhadap kejatuhan diktator Hosni Mubarak setelah berjuang selama 17 hari. Malam tadi sambutan pertama kemenangan rakyat Mesir disambut di dataran Tahrir.

Kelihatan juga kanak-kanak Gaza turut serta dalam perhimpunan ini sambil melukis peristiwa kejatuhan Mubarak. Penghuni bumi Fir'aun ini melaungkan slogan Allahuakbar dan Lailahaillallah sambil bersujud syukur menyambut negara Mesir tanpa pemerintah yang kejam. Sementara waktu sedang bergulir dan malam dingin menghambat detik-detik pemergian Mubarak, jutaan manusia meneruskan fiesta gilang gemilang sampai pagi menyinsing tanpa diktator yang dibenci selama ini.

Setelah kedengaran laungan azan sayup-sayup dari menara masjid, mereka sama-sama menunaikan solat Subuh berjemaah. Malam tadi para pemuda memukul gendang besar yang tertera Ayat al-Quran, di mana ia mengisyaratkan kehancuran Fir'aun di zaman Nabi Allah Musa Alaihissalam. Di bawah ayat tersebut, pemuda Mesir menulis: Inilah yang Allah firman tentang Fir'aun dan ia menjadi tauladan buat seluruh umat manusia.

Penunjuk perasaan Mesir menegaskan, mereka tetap tidak akan berganjak dari dataran itu selagi semua tuntutan hak yang dikemukakan belum dipenuhi. Televisyen al-'Alam di Kaherah hari ini mengumumkan Parlimen Mesir sudah dibubarkan sehingga pilihanraya berlangsung. Jurubicara Hamas juga memaklumkan terowong yang menghubungkan Gaza dan Mesir sudah dibuka.

Sementara itu Abul 'Ala Madhi, Setiausaha Agung Parti Al-Wasat Mesir mengistiharkan bahawa kerajaan baru nanti tidak akan menutup sempadan Gaza.

Salah seorang pemimpin pembangakang Mesir terkenal, Muhamma al-Barada'i dalam wawancara bersama televisyen BBC bahasa Arab mengatakan beliau tidak akan menjadi calon dalam pilihanraya nanti.

Bekas Setiausaha Agung Liga Arab dan Menteri Luar Mesir, 'Amru Musa dalam satu wawancara menegaskan, Mesir tetap akan menjaga hubungan baik dengan Amerika. Tambahnya lagi, beliau menghormati pihak tentera selagi mereka setia kepada perjanjian damai dengan Israel.

Selain itu pihak yang tidak dikenali telah menyerang penjara Rafah, sempadan Mesir-Gaza yang menyebabkan 10 orang terbunuh dan 25 cedera. Hingga saat ini beritanya belum mendapat liputan dan tiada pihak mengaku bertanggungjawab.