Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Ayatullah Sayid Ali Khamenei berkata, "Dengan limpah kurnia Ilahi, bangsa Iran yang bergantung dengan kekuatan pemuda, persediaan, serta perjuangan menghadapi segala tekanan, pasti akan dapat menyeberangi segala gaung yang berbahaya dan akan sampai ke puncak kebahagiaan kelak."
Ketua negara Iran ini berkata demikian dalam satu pertemuan bersama seribu pemuda berbakat pagi semalam sambil memberikan fokus kepada masalah penjanaan ilmu dan pengukuhan spiritual dalam rangka menghadapi kemajuan Barat. Di samping mengucapkan tahniah atas prestasi para pemuda ini dalam beberapa kegiatan, beliau berkata, "Anda semua tidak sepatutnya berpuas hati dengan pencapaian potensi setakat ini, namun benih ini hendaklah disemai sehingga subur dan membuahkan hasil yang ranum, iaitu di zaman ini juga, beserta kejayaan-kejayaannya dapat menganugerahkan buah yang manis kepada ibu pertiwi, bangsa, sejarah dan akhir sekali umat manusia."
Dalam majlis tersebut, beberapa pemuda dan pemudi berpeluang memberikan pandangan dan usulan mereka. Ayatullah Khamenei meminta agar semua pendapat tersebut dikaji dan dinilai sambil menambah, "Suasana yang cukup manis wujud ketika para pemuda ini menerangkan kemajuan negara dan masa depan negara, yang mana semangat seperti ini hendaklah diperkukuhkan di kalangan pemuda terutama sekali golongan elit."
Ayatullah Khamenei turut mengingatkan kembali peristiwa kemenangan askar Iran dalam operasi Quds di sepanjang munggu "Defa' Moghaddas" dengan mengatakan, "Imam Khomeini dalam pesanannya mengatakan: pendidikan para pemuda yang mampu mencipta kemenangan dalam keadaan sulit begini, beliau menggelarkannya sebagai "Kemenangan demi kemenangan revolusi Islam" hari ini juga spiritual yang menggembirakan dan membuat rasa bertanggungjawab di kalangan para pemuda elit terhadap masa depan negara itu juga kemenangan revolusi Islam.
Pemimpin revolusi ini turut menganggap hasil penjagaan dan pengukuhan rohani golongan elit sebagai menguntungkan negara dan rakyat. Tegas beliau, "Dengan motivasi dan semangat begini, para pemuda elit sedang melangkah ke arah kemajuan ilmu. Hakikatnya modal insan golongan elit sendiri bertukar menjadi modal rakyat yang mana semua orang mendapat faedahnya."
Sambil menyatakan kegembiraan apabila mendengar wacana tentang pergerakan dan kemajuan ilmu di negara ini, Ayatullah Sayid Ali Khamenei berkata, "Walau bagaimana pun ada satu kebimbangan, apabila pergerakan ilmu dalam negara terlalu cepat, kelak akan wujud rasa puas hati dan keredaan sedangkan kita berada di permulaan jalan. Oleh itu kemajuan ilmu tidak boleh menjadi perlahan atau berhenti."
Mengenai kemunduran ilmu negara dalam sejarah akibat kelalaian pegawai dan ahli politik, beliau berkata, "Jurang ilmu yang luas dan persaingan yang benar-benar kuat dalam rantau ini, menyebabkan gerakan ilmu perlu dipercepatkan."
Menurut beliau lagi, kemajuan ilmu memerlukan aspirasi dua kali ganda dari kalangan pemuda, dan tidak merasa gentar dalam menghadapi kemajuan Barat.