Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Revolusi rakyat Bahrain yang memasuki hari ke-602 tidak nampak tanda-tanda akan berhenti meskipun pihak polis regim berusaha melemahkannya.
Antara peristiwa yang terjadi sepanjang beberapa hari yang lalu ialah, rombongan yang terdiri daripada keluarga korban revolusi Bahrain, aktivis politik, pemimpin parti politik mengadakan satu pertemuan dengan Setiausaha Agung Majma' Ahlul Bait Hujjatul Islam Akhtari.
Dalam pertemuan ini, laporan lebih mendalam tentang kejadian kebangkitan Islam rakyat Bahrain diperjelaskan dan para hadirin telah menyampaikan pandangan mereka sendiri. Selain itu kesan dan akibat serangan ganas polis regim Al Khalifah turut dibahas dan dikaji.
Emosi para hadirin tersentuh apabila beberapa keluarga tahanan politik menceritakan betapa kejamnya pihak regim menyeksa tahanannya.

Masjid Muhammad al-Barbaghi ketika diruntuhkan oleh pihak regim
Sementara itu tindakan pihak berkuasa Bahrain meruntuhkan masjid-masjid dan membakar naskah-naskah al-Qur'an dalam peristiwa revolusi 14 Februari lalu menyebabkan kesulitan kepada umat Islam untuk menunaikan solat berjemaah. Menurut laporan, penduduk awam terpaksa mendirikan solat jemaah di tapak runtuhan masjid-masjid. Surat khabar al-Wast Bahrain menulis, "Solat jemaah di tapak masjid Muhammad al-Barbaghi yang diruntuhkan menyaksikan kehadiran lebih ramai penduduk berbanding dengan masjid-masjid lain."