9 Oktober 2013 - 20:30
Mencerca sahabat Nabi bertentangan dengan ajaran Ahlul Bait

Ayatullah Sistani kecam tindakan menghina sahabat Nabi (s.a.w)

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Ayatullah Sayid Ali al-Sistani dalam fatwa terbarunya menyatakan bahawa perbuatan mencerca sahabat Nabi (s.a.w) bertentangan dengan ajaran Ahlul Bait (a.s).

Fatwa beliau itu dikeluarkan dalam rangka menjawab salah satu pertanyaan seorang penduduk Baghdad mengenai sepotong video yang menghina individu-individu terkenal dalam sejarah Islam di dalam laman web sosial Facebook.


Marji' taqlid ini menjawab, "Tindakan ini sangat dikutuk dan dikecam, dan ianya bertentangan dengan apa yang disuruh Ahlul Bait (a.s) kepada Syiahnya."

Beberapa hari lalu sepotong video kontroversi telah tersebar dengan memaparkan beberapa orang lelaki melaungkan slogan penghinaan terhadap sahabat Nabi (s.a.w) di sebatang jalan, di kota A'zamiyah yang mempunyai penduduk majoriti Ahlusunnah Wal Jamaah.

Sementara itu pemimpin salah satu pergerakan Syiah di Iraq, Moqtada al-Sadr mengeluarkan kenyataan dalam sebuah sidang media bahawa mereka yang melancarkan penghinaan terhadap sahabat Nabi (s.aw) di A'zhamiya adalah orang yang kurang akalnya dan telah diupah. Beliau menegaskan bahawa mereka ini bukan dari kalangan Syiah Ahlul Bait (a.s).

Katanya lagi, "Perselisihan akidah tentang sejarah berdiri di atas format tertentu, peraturan, pandangan para ulama dan mujtahid, bukannya dengan cara provokatif individu-individu yang naif dan kurang waras."

"Saya yakin individu-individu ini tidak faham apa yang mereka katakan, bahkan mereka ini telah dibayar upah untuk mewujudkan masalah sektarianisme," tambah beliau.

Pejabat Perdana Menteri Iraq turut mengeluarkan kenyataan bahawa Nuri Maliki mengecam tindakan penghinaan terhadap sahabat-sahabat Nabi dan menegaskan bahawa tindakan ini cuba mencetuskan konspirasi jenayah, fitnah dan penghinaan terhadap simbol-simbol suci.

Kenyataan menambah, "Sejak akhir-akhir ini, telah tersebar video dalam beberapa laman web dari individu bernama "Thair Al-Daraji" yang mengungkapkan penghinaan terhadap sahabat-sahabat Nabi (s.a.w). Waran mahkamah untuk penangkapan individu ini telah tersebar."

Sementara itu penduduk Ahlusunnah kerajaan di beberapa wilayah Iraq menunjukkan reaksi dengan mengadakan demonstrasi dan mogok semalam. Enam daerah di Utara dan tengah Iraq yang terkenal sebagai kawasan pembangkang kerajaan mengambil kesempatan ini dengan melancarkan mogok bermula semalam (Khamis).

Muhammad Taha al-Hamadun, jurucakap pergerakan yang menggelarkan diri mereka sebagai "Rakyat Iraq" berkata, "Wilayah Anbar, Salah al-Din, Kirkuk, Nainawa, Diyali dan Baghdad hari ini menyaksikan mogok umum dan seluruh perkhidmatan awam di Iraq telah berhenti bekerja melainkan pasukan keselamatan."

Enam wilayah tersebut telah mengadakan berbagai demonstrasi dan mogok anti kerajaan Nuri Maliki sepanjang tahun lalu.

Pada masa yang sama rakyat Iraq sedang menantikan kebangkitan tokoh agama dari kalangan Ahlusunnah untuk bangkit menentang unsur-unsur sektarianisme ini.