Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Dalam wawancara bersama Taghrib News Agency (TNA), Setiausaha Agung Majma' Jahani Ahlul Bait, Hujjatul Islam Wal Muslimin Muhammad Hasan Akhtari berkata, "Seminar dan dialog ilmu antara ulama Islam perlu dilaksanakan bagi menghadapi pemikiran Takfiri... Ulama Islam dan mereka yang menjejaki kebenaran serta mengetahui kedudukan Islam yang sebenar hendaklah mengadakan dialog dengan kumpulan yang mengkafirkan pihak lain, samada ianya pengikut agama Islam atau agama-agama lain. Mungkin mereka dapat memberikan bimbingan. Sekiranya masih belum menerima hidayah, para ulama di negara-negara Islam hendaklah memaklumkan pandangan yang sahih dan mengeluarkan fatwa."
Tambah beliau lagi, "Ulama dunia Islam hendaklah bangkit menghadapi Takfiri dan mengingatkan umat tentang pengkafiran yang dilakukan mereka di samping mengistiharkan bahawa golongan ini tidak mewakili Islam sehingga kegiatan mereka dicegah dengan cara ini."
Akhtari menegaskan, "Negara-negara Islam juga dapat memberikan pengaruh dalam perkara ini. Negara-negara Islam hendaklah menangani dan menghalang kegiatan mereka ini di negara masing-masing berasaskan ikrar terhadap Islam. Mereka tidak boleh membiarkan sebahagian ulama memberikan fatwa peribadi yang tidak realistik iaitu mengkafirkan dan menghalalkan darah setiap individu yang tidak disukai mereka.
"Ulama juga mempunyai kebolehan untuk menghadapi pemikiran Takfiri, begitu juga negara-negara Islam, mereka mampu bertindak dalam perkara ini." Ujar beliau.
Mengenai peranan rejim Zionis yang menyokong golongan Takfiri, beliau berkata, "Bagi Zionis, tidak ada perbezaan yang ketara. Zionis mencari motif fitnah ini dan melaga-lagakan negara-negara... Sebagaimana Zionis melaga-lagakan bangsa yang ada di dalam beberapa negara, seperti itu juga mereka mengadu domba antara berbagai mazhab."
Beliau turut menceritakan bagaimana rejim Zionis mencari kesempatan untuk melemahkan umat. Tambahnya lagi, "Israel dan sekutu-sekutunya membantu dan menyalurkan dana kepada kumpulan-kumpulan Takfiri. Ketika kumpulan-kumpulan ini memerlukan senjata, mereka akan membekalkannya sehingga terjadi pertumpahan darah dan pembunuhan dalam negara-negara Islam. Penulisan buku-buku berkenaan Takfiri, mengeluarkan fatwa anti keganasan, mengutuk kumpulan Takfiri begitu juga menyedarkan umat, memberikan pendidikan, menganjurkan dialog dan debat dapat mencegah tindakan-tindakan Takfiri."