Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Anggota Majlis Syura Ahli Sunnah Wilayah Anbar, Syeikh Muhammad al-Hiti mengistiharkan fatwa rasmi jihad memerangi kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Sham (ISIL) sehingga keluar dari wilayah Anbar.
Dalam masa yang sama, 36 orang ulama dan imam-mam masjid Falujah turut mengistiharkan perang terhadap pengganas yang beraliran Takfiri (Wahabi). Tindakan ini dianggap sebagai reaksi pertama ulama Ahli Sunnah terhadap keganasan ISIL.
Sementara itu ibupejabat polis Anbar turut memaklumkan kesediaan tujuh kumpulan sukarela yang terdiri daripada individu perseorangan, kabilah dan ulama bagi membantu askar kerajaan mengusir anasir pengganas.
Kerjasama masyarakat Ahli Sunnah secara besar-besaran dalam membanteras pengganas dikatakan faktor penting untuk kejayaan askar Iraq membanteras militan Wahabi.
Laporan terkini di Iraq menunjukkan askar kerajaan telah mengepung tiga kawasan utama di sekitar Falujah sementara sumber keselamatan menjangka operasi besar-besaran akan dilancarkan di kawasan terbabit pada minggu depan.
Pihak kerajaan juga berharap kerjasama masyarakat, kabilah dan ulama akan menjadi faktor menyegerakan kejatuhan kumpulan-kumpulan pengganas yang masih aktif.
Media-media Iraq pula melaporkan kebanyakan anggota pengganas sudah kehilangan semangat untuk menghadapi gelombang baru ini.
Salah satu akhbar melaporkan, kerjasama masyarakat Anbar dengan pasukan keselamatan telah menyebabkan kemaraan askar kerajaan di kawasan yang telah dipengaruhi pengganas. Sebilangan anggota ISIL yang mempunyai hubungan dengan negara-negara Arab di Falujah dan Ramadi telah melarikan diri keluar dari Iraq. Berasaskan laporan ini terdapat beberapa orang pengganas terpaksa membunuh diri dengan meledakkan bom di badan masing-masing.
Sumber keselamatan menyebut ratusan pengganas terbunuh di sekitar Falujah beberapa hari lalu akibat terleka dengan kemaraan askar.
Perang terhadap pengganas Wahabi seperti ISIL dan al-Qaeda telah memasuki bulan ke lima. Sepanjang tempoh tersebut, askar Iraq berjaya membunuh 3000 anggota pengganas di mana lebih 500 orang daripadanya berasal dari negara-negara Arab yang lain.
Perdana Menteri Iraq, Nuri Maliki mengeluarkan arahan kepada seluruh angkatan tentera Iraq untuk menyerang kedudukan sarang pengganas.
Maliki berkata, "Kemunculan pengganas merupakan masalah global yang akan menyebabkan keganasan merebak ke tempat lain sekiranya tidak dibendung".
Beliau turut meminta negara-negara jiran bekerjasama dalam membanteras pengganas Wahabi selain mengkritik negara-negara yang menyokong pengganas.