Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Beberapa tokoh agama mendedahkan jenayah terbaru ISIS yang membunuh Imam Masjid Jamik Mosul, Sheikh Muhammad al-Mansuri dan sahabat-sahabatnya setelah enggan memberikan ikrar ketaatan terhadap kumpulan pengganas tersebut.
Menurut beberapa laman web di Iraq, Salam Mansur al-Hiti yang merupakan Imam Masjid Jamik al-Siddiq berkata, "Kumpulan pengganas ISIS bertindak membunuh Sheikh al-Mansur setelah bertemu dengannya malam kelmarin (Khamis) di rumahnya dan meminta bai'ah, di samping meminta masjid diserahkan kepada militan untuk dijadikan sarang latihan anggota mereka".
Al-Hiti menambah, "Anggota ISIS telah mengugut semua tokoh agama beraliran sederhana yang enggan bekerjasama dengan mereka dan menolak kewujudan mereka".
Tegas beliau lagi, "Lebih dari 34 orang imam sedang bergerak menuju je Erbil kerana khuatir dengan penyaringan fizikal yang dilakukan oleh ISIS secara kejam di bandar Mosul".
Menurut sumber-sumber keselamatan di Kementerian Pertahanan Iraq, seluruh kekuatan pertahanan negara telah dikirim ke Mosul untuk membebaskannya dari cengkaman ISIS.
14 Jun 2014 - 09:38
News ID: 615885
Pengganas ISIS mula menyaring tokoh agama yang tidak menyokong gerakan mereka.