20 Jun 2014 - 21:17
Gambar penyerang bunuh diri di Lubnan didedahkan

Sebuah kereta yang digunakan untuk serangan di pintu masuk Beqaa berasal dari Nissan Murano bewarna perak. Akibat letupan yang dahsyat, tidak ada yang tertinggal melainkan motor enjinnya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Dua orang dilaporkan terbunuh manakala 18 yang lain cedera dalam siri serangan pengganas ketika rombongan kereta General Abbas Ibrahim, Pengarah Keselamatan melalui jalan di Dahr al-Baydar tengahari tadi.

General Abbas Ibrahim tidak mengalami kecederaan dan sehingga kini tidak ada mana-mana individu atau kumpulan yang mengaku bertanggung jawab dalam serangan ini.

Sumber keselamatan menyebut, sebuah kereta yang menjalankan operasi bom bunuh diri muncul di hadapan rombongan. Agensi Keselamatan mula mengesyaki keanehan apabila kereta tersebut berusaha mengejar kenderaan yang dinaiki oleh Abbas Ibrahim. Setelah diarahkan berhenti, penyerang turun dari kenderaan dan menyedari bahawa dia tidak dapat meneruskan perjalanan dan misinya. Akhirnya penyerang meledakkan dirinya sendiri tatkala agensi keselamatan sudah mengetahui hasratnya.

Nissan Murano bewarna perak adalah model kereta yang digunakan dalam serangan ini dan akibat ledakan yang dahsyat, tidak ada lagi yang tertinggal pada rangka kenderaan tersebut melainkan motor enjinnya.



Agensi Keselamatan Lubnan sudah menyebarkan gambar penyerang tersebut dan meminta kerjasama seluruh penduduk Lubnan bagi mendapatkan maklumatnya.

Hizbullah Lubnan turut mengecam pengeboman tersebut dan meminta seluruh rakyat Lubnan bersatu padu untuk menghadapi konspirasi pengganas yang berbahaya.

Tambah kenyataan yang dikeluarkan Hizbullah hari ini, serangan pengganas di Dahr al-Baydar telah menjadikan Lubnan dan keselamatannya sebagai sasaran manakala penduduknya juga turut terancam.