Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran berkata, "Dunia Islam harus meminggirkan semua perselisihan dan menggunakan apa sahaja yang mereka miliki demi mengekalkan keamanan serta memenuhi keperluan penduduk Gaza. Dalam pada itu ia hendaklah menyatakan kebencian dan berlepas diri dari penyokongnya terutama sekali Amerika dan England."
Beliau berkata demikian ketika menyeru bantuan segera untuk Palestin dalam pertemuan bersama ratusan penggiat sosial, duta dan pegawai dari berbagai negara Islam.
Sambil mengucapkan selamat hari raya kepada penganut agama Islam di seluruh dunia, beliau menegaskan betapa pentingnya perpaduan dan berkata, "Malangnya umat Islam terjebak dalam kancah perpecahan akibat faktor politik dan gila kuasa."
"Sekiranya orang yang gila kuasa tidak mampu memecah belahkan dunia Islam, maka kuasa besar dunia tidak akan berani bertindak biadab terhadap negara-negara Islam dan menyesatkannya," kata beliau sambil meminta umat Islam membentuk perpaduan.
Mengenai penduduk Gaza yang masih ditindas beliau menyampaikan pesanan, "Pesanan kita kepada negara-negara Islam ialah berikanlah bantuan kepada penduduk yang ditindas dan mari kita tunjukkan bahawa negara-negara Islam tidak duduk diam dalam menentang kezaliman dan penindasan."
Tambah beliau lagi, "Demi merealisasikan tujuan ini para pemimpin politik di seluruh negara Islam perlu mengenepikan segala perselisihan pandangan politik dan non politik, dan semua orang harus segera tampil membantu golongan tertindas yang sedang mengelepar digonggong serigala Zionis, yang dahaga darah."
Khamenei menegaskan dua perkara penting yang perlu dilaksanakan dunia Islam, "Pertama ialah menyediakan keperluan hidup untuk penduduk Gaza, kedua ialah memberikan reaksi yang utuh dan sosial dalam menghadapi rejim pembunuh Zionis dan sekutunya."
Menyentuh tentang keperluan asasi yang diperlukan oleh penduduk Gaza bagi meneruskan hidup seperti makanan, air, ubat, kemudahan hospital, pembangunan rumah, beliau menambah, "Bangsa ini juga memerlukan senjata untuk mempertahankan diri."