Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Masjid Imam Ali (a.s), Pusat Islam Hamburg menerima kunjungan masyarakat bukan Islam dalam acara tahunannya, Jumaat lalu.
Acara ini diadakan bertepatan dengan cuti rasmi sempena hari penyatuan antara Jerman Timur dan Barat pada 3 Oktober setiap tahun.
Pusat Islam Hamburg mengambil inisiatif tersebut untuk memperkenalkan prinsip dan nilai-nilai ulung agama Islam kepada masyarakat tempatan yang dianggarkan berpolulasi sekitar 6 juta orang di kawasan terbabit.
Pengisian utama sempena hari tersebut ialah dialog antara agama dan mazhab, tayangan filem selama 7 hari dan pameran.
Program yang bermula dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang ini berjaya menarik pengunjung seramai 5,000 orang. Hadirin juga diberi kesempatan untuk melawat sekitar kompleks masjid dengan penerangan daripada jawatankuasa program mengenai prinsip dan akidah umat Islam.
Pengunjung juga kelihatan kagum dengan senibina dan pameran kebudayaan. Selain itu, mereka juga berpeluang melontarkan soalan berkaitan Islam dalam sesi dialog bersama pakar agama.
Oleh kerana pameran bertepatan dengan hari Jumaat, para pengunjung dapat menyaksikan dari jarak dekat bagaimanakah umat Islam mendirikan solat Jumaat. Khutbah Jumaat juga diterjemahkan ke bahasa Jerman, Turki dan Arab.
Antara pengisian program adalah seperti berikut:
- Kaunter pertanyaan tentang Islam.
- Bilik pameran sejarah Pusat Islam Hamburg
- Bilik pameran sambutan ulang tahun Pusat Islam Hamburg
- Bilik pameran kaligrafi Islam
- Bilik pameran majalah Islam
- Tayangan filem dan kegiatan dialog Pusat Islam Hamburg
- Persembahan muzik tradsional
Pengunjung juga diberi risalah percuma, poskad masjid serta hadiah untuk kanak-kanak.
Di pintu masuk pameran, pengunjung berpeluang menikmati berbagai aneka makanan Iran, sandwich, teh dan kopi.
























..