Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.ir) - Buat pertama kalinya masjid wanita telah dirasmikan di kota Los Angeles dengan mendirikan solat Jumaat secara berjemaah minggu lalu dengan khutbah yang disampaikan oleh Edina Lekovic.
Masjid wanita ini pernah dilaporkan wujud di China, Chile dan India, namun masjid ini dikatakan yang pertama di Amerika.
Masjid ini satu-satunya yang eksklusif untuk wanita dari 2000 masjid di Amerika. Golongan ini dikatakan sedang berusaha untuk menangani budaya yang meminggirkan wanita dengan menggabungkannya dengan tradisi Islam dan keimanan. Antara yang menjadi kepercayaan kumpulan ini ialah tidak ada paksaan untuk penunai solat memakai hijab dan mereka bebas memakai sebarang jenis pakaian yang selesa.
Keinginan untuk memupuk iman telah mendorong salah seorang ahlinya, Sana Muttalib, seorang peguam yang berkepakaran dalam undang-undang anti rasuah antarabangsa memegang jawatan Timbalan Presiden masjid bersama Hasna Maznavi, seorang penulis dan pengarah komedi. Menurut beliau Islam mempunyai ciri-ciri yang memberi kesaksamaan kepada setiap wanita. Kata beliau, "Cerita yang ibu saya sampaikan dari al-Qur'an adalah mengenai kesaksamaan. Ketika saya membesar, saya sedar bahawa ianya tidak menjadi realistik dalam masyarakat. Saya terkejut ianya menyebabkan saya memiliki krisis keimanan."
Katanya lagi, dia mula menghidupkan kembali keimanannya di sekolah undang-undang ketika mengambil kelas perlembagaan dan undang-undang Islam dalam tempoh yang sama. "Saya berhubung kembali dengan al-Qur'an dan menyedari bahawa apa yang ada tidak memperkasakan wanita," katanya. "Sebelum saya mati, saya ingin membantu Islam yang sebenar menjadi hidup di dalam masyarakat. Saya telah mencari jalan untuk melakasanakannya."
Lekovic turut menyatakan aspirasi tersebut sehari sebelum beliau menyampaikan khutbah dalam majlis perasmian masjid wanita itu.
"Dalam masjid arus perdana, isu-isu kewanitaan adalah remeh," kata beliau. "Hasrat kami ialah membantu wanita membaca al-Qur'an dan menafsirkan kitab-kitab tradisional untuk mereka. Kami melakukan ini dengan kesaksian dalam memperkasakan wanita supaya golongan ini dapat berbakti kepada masyarakat Islam yang lebih luas."
Lekovic menegaskan bahawa fungsi masjid juga adalah pusat pendidikan yang tidak eksklusif untuk hari Jumaat semata-mata.
"Terdapat tanggapan negatif bahawa kami cuba mengasingkan wanita," katanya. "Kami melihat apa yang kami lakukan adalah sebagai melengkapi, bukannya persaingan."
Bekata sebelum solat Jumaat minggu lalu, Kameelah Wilkerson selaku pengarah urusan sebuah pertubuhan kebajikan kanak-kanak turut menyokong alasan tersebut. "Saya mempunyai sebuah masjid di Altadena yang mana saya juga terlibat di dalamnya, " tambahnya. "Saya akan mengekalkan penglibatan diri di sana. Namun gambaran yang lebih besar adalah lebih penting, iaitu memberikan wanita hak bersuara dan ruang untuk melatih suara tersebut."
Beliau mendakwa, dirinya masih terlibat dalam kedua-dua komuniti sebagai sebahagian daripada transformatif pontensi dalam menghubungkan interaksi antara masjid wanita dan masjid-masjid lain.
"Dalam masyarakat tempatan saya, saya adalah salah seorang ahli lembaga pengarah," katanya. "Ia amat mengalu-alukan wanita, namun ia bukanlah komuniti yang besar dan ruangnya tidak secara menyeluruh. Saya ingin melihat gerakan ini lebih bertenaga dan kedua-dua lelaki dan perempuan akan cuba menjadikan ruang lingkupnya lebih saksama di kalangan masyarakat Muslim."








