21 Mac 2016 - 20:09
Malaysia, Australia kongsi maklumat risikan berhubung IS

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) bersalam bersama Menteri Pertahanan Australia, HE Senator Marise Payne ketika menerima kunjungan hormat di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak,Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff

UALA LUMPUR: Malaysia dan Australia akan terus meningkatkan kerjasama dalam menangani ancaman kumpulan pengganas IS, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menteri Pertahanan itu berkata, beliau dan Menteri Pertahanan Australia, Senator Marise Payne bersetuju untuk berkongsi maklumat risikan berkaitan aktiviti pengganas itu termasuk kawasan yang disyaki menjadi tumpuan.

"Saya bersama Menteri Pertahanan Australia akan berkongsi maklumat risikan serangan golongan itu termasuk lokasi yang patut dipantau.

"Saya harap pembabitan 10 negara ASEAN dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) sebelum ini akan membolehkan semua negara itu bekerjasama dan bersatu dalam memastikan kumpulan pengganas tidak diberi ruang untuk menyusup masuk ke dalam negara," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Payne di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Sementara itu, Payne berkata pihaknya sentiasa peka terhadap serangan yang berlaku di Iraq dah Syria. "Kita tidak boleh mengambil ringan terhadap isu ini seperti mana yang berlaku di dua negara itu sebelum ini.

"Susulan itu, Australia akan terus memainkan peranan penting dan terus bekerjasama dengan negara ASEAN lain termasuk Malaysia dalam menangani serangan IS," katanya.