23 September 2016 - 17:12
Senat A.S Meluluskan Penjualan Senjata Kepada Arab Saudi

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Senat Amerika Syarikat akhirnya meluluskan sebuah perjanjian penjualan senjata yang bernilai USD 1.15 bilion kepada Arab Saudi walaupun perjanjian yang disusulkan oleh pentadbiran Obama itu pada mulanya dibantah oleh sebahagian senator.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Senat Amerika Syarikat akhirnya meluluskan sebuah perjanjian penjualan senjata yang bernilai USD 1.15 bilion kepada Arab Saudi walaupun perjanjian yang disusulkan oleh pentadbiran Obama itu pada mulanya dibantah oleh sebahagian senator.

Undang-undang yang diperkenalkan untuk menghalang perjanjian itu telah ditolak oleh penggubal undang-undang A.S di dalam undian yang menyaksikan 71 daripada mereka menolak manakala 27 lagi menyokong perlaksanaan undang-undang tersebut. 

Undang-undang yang bersifat bi-partisan itu telah diperkenalkan oleh wakil Republikan iaitu Senator Rand Paul dan Senator Chris Murphy daripada parti Demokrat dalam usaha mereka untuk menghentikan perjanjian dengan negara Arab Saudi yang sedang terlibat di dalam melakukan jenayah perang di negara jiran mereka iaitu Yaman. 

Pada Ogos lepas, Pentagon telah melaporkan bahawa Jabatan Negara A.S telahpun meluluskan penjualan tersebut. 

Aktivis-aktivis hak asasi manusia mengkritik keras perjanjian tersebut menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun 2016, di mana Hillary Clinton dan Donald Trump adalah pesaing utama. 

"Resolusi ini akan memberikan mesej kepada Presiden bahawa kami menolak penjualan senjata kepada Arab Saudi," kata Senator Paul yang merupakan wakil Republikan dari Kentucky. Beliau adalah salah seorang daripada penggubal undang-undang di sebalik resolusi penolakan tersebut. 

Menurut Murphy, fahaman Wahhabi yang kental di Arab Saudi adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada pembentukan ekstremisme di seluruh rantau berkenaan dan juga seluruh dunia secara amnya. 

"Jika anda serius untuk menghentikan aliran pelampau yang merekrut ahli di seluruh dunia ini, maka anda perlu serius bahawa ... konsep Islam yang disebarkan 
oleh Arab Saudi di seluruh dunia, adalah sebahagian daripada masalah itu," menurut Murphy. 

Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan terhadap Yaman semejak Mac 2015 dalam usaha mereka untuk membawa bekas presiden negara tersebut, Abd Rabbuh Mansur Hadi, yang merupakan sekutu kuat Riyadh, kembali kepada tampuk kekuasaan sekaligus melemahkan pergerakan Ansarullah. 

Menurut Stephen Lendman, seorang pengarang dan pengacara radio yang berpangkalan di Chicago, kecenderungan Rumah Putih untuk melaksanakan perjanjian dengan kerajaan monarki itu mempunyai motif yang melangkaui kepentingan ekonomi semata-mata.

"Semua peperangan di Timur Tengah adalah peperangan Amerika Syarikat tanpa sebarang pengecualian," katanya kepada Press TV dalam sebuah temu bual melalui telefon pada Selasa lepas.