6 Oktober 2016 - 06:56
Polisi EU Dan A.S Punca Konflik Di Syria: Le Pen

Ketua Parti Barisan Kebangsaan yang berpusat di Perancis, Marie Le Pen berkata bahawa EU bertanggungjawab ke atas krisis yang berlaku di Syria kerana penglibatan kesatuan tersebut di dalam usaha antarabangsa untuk menjatuhkan kerajaan Assad.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ketua Parti Barisan Kebangsaan yang berpusat di Perancis, Marie Le Pen berkata bahawa EU bertanggungjawab ke atas krisis yang berlaku di Syria kerana penglibatan kesatuan tersebut di dalam usaha antarabangsa untuk menjatuhkan kerajaan Assad.

"Kamu telah lakukan pelbagai perkara untuk menjatuhkan kerajaan Syria sekaligus membawa perang saudara yang dahsyat ke negara itu dan di dalam masa yang sama sibuk menuduh Russia yang (di sebalik tuduhan itu) benar-benar memerangi Daesh," kata beliau ketika menyampaikan ucapan di hadapan Parlimen EU di Strasbourg pada Rabu lepas.

Angkatan tentera udara Russia telah melancarkan pengeboman demi pengeboman ke atas kumpulan pengganas sejak September 2015 di atas permintaan Damsyik. Antara kumpulan yang menjadi sasaran mereka adalah ISIS dan Jabhat Fateh al-Sham yang mana dahulunya dikenali sebagai Jabhat al-Nusra. al-Nusra dikenalpasti sebagai sekutu al-Qaeda di Syria.

Beliau juga menekankan bahawa polisi EU dan A.S secara langsung telah menyumbang kepada situasi yang ada di Syria ketika ini iaitu konflik berterusan yang setakat ini telah mengorbankan 400000 nyawa.

"Kamu tidak boleh menafikan tanggungjawab kamu... kerana menyebabkan belahan dunia ini terjebak ke dalam kekacauan yang luar biasa," kata Le Pen yang mahu bertanding bagi merebut kerusi Presiden pada tahun hadapan. Le Pen juga mengkritik EU kerena dianggap telah mengendalikan isu pelarian secara tidak bertanggungjawab.

"Tiada langkah hakiki yang telah diambil untuk mengawal krisis ini," kata beliau.

Eropah sedang menyaksikan jumlah kemasukan pelarian yang terbesar sepanjang sejarah benua itu. Mereka dilaporkan datang daripada kawasan yang dilanda konflik seperti Afrika Utara dan Timur Tengah.