2 November 2016 - 18:18
Majlis Syura Saudi Tolak Cadangan Kaji Pemanduan Wanita.

Badan penasihat tertinggi Arab Saudi yang dikenali sebagai Majlis Syura, telah menolak sebuah cadangan untuk menjalankan kajian khusus tentang isu pengharaman wanita memandu sekaligus mengabaikan tekanan antarabangsa yang ingin melihat kerajaan monarki mutlak itu melonggarkan kongkongan mereka ke atas kaum wanita.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Badan penasihat tertinggi Arab Saudi yang dikenali sebagai Majlis Syura, telah menolak sebuah cadangan untuk menjalankan kajian khusus tentang isu larangan memandu ke atas wanita sekaligus mengabaikan tekanan antarabangsa yang ingin melihat kerajaan monarki mutlak itu melonggarkan kongkongan mereka ke atas kaum wanita.

Seorang ahli anggota majlis tersebut pada hari Rabu mengatakan bahawa sebuah kajian telah diusulkan oleh salah seorang daripada anggota lelaki majlis itu di dalam mesyuarat yang berlangsung pada minggu ini. Akan tetapi cadangan itu tertolak selepas gagal mendapat sokongan yang diperlukan daripada ahli majlis yang lain.

Ahli majlis yang enggan dikenali itu berkata bahawa kajian tersebut bertujuan untuk memahami kesukaran yang dihadapi oleh kaum wanita semasa memandu dan mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi permasalahan tersebut supaya larangan memandu ke atas kaum hawa di negara tersebut boleh dilupuskan.

Majlis Syura yang terdiri daripada 150 orang termasuk 30 orang wanita secara teknikalnya tidak memiliki kuasa untuk menggubal undang-undang. Akan tetapi kabinet Arab Saudi secara umumnya akan mengambil kira cadangan yang diusulkan oleh majlis tersebut.

Pengharaman wanita daripada memandu adalah sebuah isu yang menjadi duri dalam daging bagi rejim Arab Saudi berikutan kritikan antarabangsa ke atas rekod buruk Riyadh dalam menangani isu hak-hak wanita dan puak minoriti.

Pengharaman tersebut walaubagaimanapun tidaklah disahkan secara rasmi dalam sistem perundangan negara sekutu A.S itu. Akan tetapi para aktivis hak asasi manusia berkata bahawa tradisi dan adat yang wujud di negara tersebut telah menghalang kaum wanita daripada memiliki kebebasan untuk memandu.

Sesetengah wanita mencabar larangan tersebut dengan menyiarkan gambar mereka ketika memandu di laman-laman sosial.