2 November 2016 - 19:20
Merkel Kritik Turki Kerana Tindakan Kerasnya Ke Atas Media.

Canselor Jerman, Angela Merkel telah menyuarakan kebimbangan beliau ke atas tindakan keras pihak berkuasa Turki ke atas pihak media.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Canselor Jerman, Angela Merkel telah menyuarakan kebimbangan beliau ke atas tindakan keras pihak berkuasa Turki ke atas pihak media.

"Adalah amat membimbangkan bagi saya dan kerajaan pusat bahawasanya kebebasan akhbar secara berulang kali disekat (di negara Turki)," kata Merkel pada hari Rabu lepas.

Berlin dan Kesatuan Eropah telah mengkritik kerajaan Turki kerana bertindak jauh di luar bidang kuasa undang-undang dalam berhadapan dengan pihak media.

Canselor Jerman juga menolak dakwaan Ankara bahawa penahanan seorang wartawan kanan yang dilakukan baru-baru ini dilaksanakan selaras dengan undang-undang Turki dalam upaya mereka membanteras keganasan.

Jurucakap Merkel pada hari Rabu berkata bahawa penahanan Murat Sabuncu yang merupakan editor sebuah akhbar pembangkang, Cumhuriyet pada bulan lepas sebagai sangat membimbangkan.

"Kami sangat ragu sama ada tindakan ke atas ketua penyunting, Murat Sabuncu dan rakan-rakannya dilakukan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang (atau tidak)," kata Steffen Seibert semasa melakukan taklimat biasa dengan para wartawan. Beliau juga dipetik berkata bahawa Berlin akan membangkitkan isu tersebut kepada Ankara.

Hubungan antara Jerman dan Turki telah merosot kerana beberapa siri tindakan keras Ankara yang dilancarkannya berikutan cubaan rampasan kuasa tentera negara itu pada 15 Julai lalu.