Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Polis Negara Indonesia akan menempatkan ratusan anggotanya yang lengkap memakai kopiah dan serban putih dalam usaha memenangi hati para peserta sebuah tunjuk perasaan yang dijangka akan berlangsung pada hari Jumaat esok.
Jurucakap Polis Jakarta, Komisioner Awi Sutiyono berkata bahawa seramai 500 anggota Briged Polis Bergerak (Brimob) akan memakai kopiah dan serban putih bersama pakaian seragam mereka semasa mengawal perhimpunan yang dianjurkan oleh beberapa pertubuhan tertentu. Kumpulan-kumpulan terbabit berkumpul untuk menuntut supaya calon gabenor merangkap penyandang Gabenor Jakarta, Basuki "Ahok" Tjahaja Purnama didakwa di atas tuduhan menghina agama.
"Ini adalah satu langkah untuk menghalang para penunjuk perasaan daripada mencetuskan keganasan. Jika tunjuk perasaan itu bertukar ganas, para anggota Brimob juga akan mengumandangkan zikir Asmaul Husna (99 nama Allah)," kata Awi pada hari Rabu, sambil menambah bahawa para anggota briged itu juga tidak akan membawa sebarang perisai atau senjata api.
Secara keseluruhan, Polis Negara Indonesia dilaporkan akan menugaskan sekurang-kurangnya 20,000 orang anggota untuk mengawal perhimpunan tersebut. Perhimpunan itu dijangka akan disertai oleh sekitar 50,000 orang peserta yang akan memenuhi jalan-jalan di dalam bandar Jakarta.
Ahok sebelum ini telah memohon maaf kerana menyebabkan kontroversi di kalangan masyarakat dan beberapa pertubuhan Islam selepas dia dituduh menghina ayat al-Quran pada 27 September lalu.
Jika tunjuk perasaan itu bertukar ganas, para anggota Brimob juga akan mengumandangkan zikir Asmaul Husna.
Polis Indonesia Pakai Kopiah Dan Serban Untuk Tenangkan Para Peserta Tunjuk Perasaan.
3 November 2016 - 17:37
News ID: 789636
Polis Negara Indonesia akan menempatkan ratusan anggotanya yang lengkap memakai kopiah dan serban putih dalam usaha memenangi hati para peserta sebuah tunjuk perasaan yang dijangka akan berlangsung pada hari Jumaat esok.