11 November 2016 - 04:52
6000 Lelaki Bersenjata  Cuba Tembusi Kepungan Di Aleppo: Rusia.

Lebih kurang 6000 orang lelaki bersenjata dilaporkan cuba untuk menembusi masuk kawasan timur bandar Aleppo yang pada masa ini dikepung oleh tentera kerajaan Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Lebih kurang 6000 orang lelaki bersenjata dilaporkan cuba untuk menembusi masuk kawasan timur bandar Aleppo yang pada masa ini dikepung oleh tentera kerajaan Syria.

"Situasi yang paling serius di Syria masih lagi di Aleppo," kata Maria Zakharova yang merupakan jurucakap Kementerian Luar Rusia.

"Para militan menyerang dari kawasan barat daya dalam usaha membentuk koridor untuk menembusi kawasan timur Aleppo," katanya dalam kenyataan yang dibuat pada hari Khamis.

"Menurut perkiraan, lebih kurang 6000 orang lelaki bersenjata terbabit di dalam operasi yang diarahkan secara taktikal oleh Jabhat Fateh al-Sham (sebelumnya dikenali sebagai Jabhat al-Nusra) dari markas mereka," katanya lagi.

Diplomat itu juga mendedahkan tentang koordinasi rapat di antara kumpulan Nusra dengan kumpulan anti-kerajaan yang lain di wilayah Hama dan Damask. "Para pengganas mendapat tentangan di mana sahaja," kata Zakharova.

Beliau juga berkata bahawa perjanjian di antara Moscow dan Washington berkenaan Syria masih berlangsung dan tiada pihak yang sudah memansuhkannya. Di dalam masa yang sama beliau juga berkata bahawa kerja-kerja berkaitan perjanjian itu perlu diteruskan.