Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menurut sumber tempatan, seorang pegawai kewangan ISIS di Raqqa, Syria dilaporkan telah meninggalkan kumpulan tersebut setelah mencuri wang daripada sebuah bank utama di kawasan itu.
Abu Okruma al-Anbari yang berasal dari Iraq dilaporkan telah meninggalkan ibu negara de facto ISIS bersama keluarganya pada hari Khamis lalu.
"Al-Anbari mencuri wang daripada bank tempatan di Raqqa sebelum melarikan diri," kata aktivis media tempatan, Taim Khalil.
"Sumber daripada pihak bank juga mengesahkan bahawa lebih daripada USD 3 juta dilaporkan hilang daripada simpanan bank tersebut selepas al-Anbari mengosongkan pejabatnya dan melarikan diri ke tempat yang tidak diketahui," lapor Khalil.
"Insiden itu merupakan satu tamparan yang hebat kepada kumpulan tersebut memandangkan Daesh sememangnya sedang mengalami krisis kewangan yang teruk khususnya apabila tentera Syria berjaya merampas kembali beberapa kawasan keluar masuk di antara negara Syria dan Turki seperti Manbij dan Tel Abyad. Kawasan ini sebelumnya merupakan laluan penting bagi perdagangan minyak Daesh di dalam pasaran gelap," kata Anas Halwani yang merupakan seorang wartawan Syria.
"Tidak lama lagi ISIS tidak akan lagi mampu untuk membiayai operasi ketenteraan mereka di Raqqa yang merupakan ibu kota de facto kumpulan pengganas itu di Syria," kata Halwani.
13 November 2016 - 12:40
News ID: 791660
Menurut sumber tempatan, seorang pegawai kewangan ISIS di Raqqa, Syria dilaporkan telah meninggalkan kumpulan tersebut setelah mencuri wang daripada sebuah bank utama di kawasan itu.