KUALA LUMPUR: Majoriti suspek yang ditahan kerana terbabit dalam militan IS atau penyokong yang bersimpati dengan pengganas itu ialah golongan belia.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata daripada 240 yang ditahan kerana terbabit dengan IS, sebanyak 192 atau 80% daripadanya mereka yang berumur bawah 40 tahun.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Nazlan Idris (Umno-Jerantut) di Dewan Rakyat hari ini.
Nazlan bertanya mengenai tahap radikalisasi pembabitan belia Malaysia dalam ekstremisme dan langkah yang diambil untuk membendung masalah itu.
Khairy berkata kajian menunjukkan mereka yang terpengaruh dengan kumpulan ekstremis itu mempunyai pendidikan agama yang cetek dan maklumat asas mengenai IS sebelum menyertainya.
Khairy berkata bagi membendung masalah itu, kementerian menubuhkan 3 platform.
Pertama ialah untuk memprofil dan mengenal pasti kumpulan berisiko tinggi yang mungkin terdedah kepada kempen IS; sementara kedua memulihkan mereka yang radikal.
Langkah ketiga ialah menjalankan kempen pencegahan bersama Majlis Keselamatan Negara, polis dan pihak berkuasa agama.
Oleh: Minderjeet Kaur