18 November 2016 - 04:02
Rusia Mulakan Komunikasi Dengan Pasukan Trump.

Timbalan Menteri Luar Rusia berkata bahawa Moscow telah memulakan komunikasi dengan pasukan Presiden A.S yang baharu dilantik berkaitan krisis yang berlaku di Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Timbalan Menteri Luar Rusia berkata bahawa Moscow telah memulakan komunikasi dengan pasukan Presiden A.S yang baharu dilantik berkaitan krisis yang berlaku di Syria.

Mikhail Bogdanov pada hari Khamis semalam menyatakan harapan beliau untuk melihat pentadbiran baharu A.S mengambil pendekatan yang berbeza di dalam menyelesaikan krisis di SYria.

Moscow dikatakan mengalu-alukan sebarang bentuk pendekatan yang akan memulakan semula dialog intra-Syria tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Menurut Bogdanov, dialog dalaman itu akan membolehkan rakyat Syria sendiri untuk menentukan hala tuju negara mereka.

Pegawai Rusia itu juga berkata bahawa Timur Tengah dan Afrika Utara kini terjerut dengan bahaya ekstremisme dan keganasan yang diapi-apikan oleh negara-negara Barat.

"Situasi ini sebahagian besarnya disebabkan oleh praktik kejuruteraan geopolitik kejam yang digunakan oleh negara-negara Barat yang disertai dengan campur tangan mereka di dalam urusan dalaman negara-negara berdaulat yang lain," kata beliau.

Bogdanov jyga berkata bahawa Rusia telah berulang-kali memberikan amaran akan bahaya mengimplementasikan projek penukaran rejim secara paksa  kepada pihak-pihak yang terbabit. Akan tetapi, negara-negara Barat seakannya mempunyai pendapat yang berbeza berkaitan perkara ini.