18 November 2016 - 09:41
Kami Sasarkan ISIS Di Idlib Dan Homs Untuk Halang Mereka Masuki Syria Dari Mosul: Sergei Lavrov.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata bahawa pesawat pengebom Rusia menyasarkan posisi pengganas di Idlib dan Homs dalam rangka menghalang para pengganas Daesh daripada memasuki Syria dari Mosul, Iraq.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata bahawa pesawat pengebom Rusia menyasarkan posisi pengganas di Idlib dan Homs dalam rangka menghalang para pengganas Daesh daripada memasuki Syria dari Mosul, Iraq. Beliau membuat kenyataan tersebut setelah menamatkan sesi dialog dengan Setiausaha Negara A.S, John Kerry.

"Pihak tentera udara kami dan Syria hanya beroperasi di wilayah Idlib dan Homs sahaja untuk menghalang para pengganas memasuki Syria dari Mosul," kata Lavrov selepas mesyuarat bersama John Kerry.

Kedua-dua diplomat itu menyifatkan mesyuarat yang menyentuh isu di Syria, Yaman dan Ukraine sebagai membina. Lavrov juga menangkal dakwaan yang dibuat oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menuduh Tentera Udara Persekutuan Rusia mengebom 5 buah hospital di Aleppo dan Idlib.

Kementerian Pertahanan Rusia berulang kali menegaskan bahawa negara itu sudah menghentikan pengeboman di Aleppo semenjak 30 hari lalu, manakala serangan di Idlib pula hanya menyasarkan depot dan kilang senjata pengganas yang telah diteliti dengan rapi sebelum serangan dibuat.

Lavrov juga membuat komen berkaitan insiden yang berlaku pada hari Rabu lepas di sidang akhbar Jabatan Negara A.S. Insiden itu melibatkan jurucakap jabatan tersebut, John Kirby yang memberitahu bahawa pihaknya tidak akan melayan wartawan Russia Today (RT) sama seperti layanan yang diberikan kepada media lain.

Kirby berkata demikian selepas diminta untuk mengeluarkan bukti bagi menyokong dakwaan A.S yang menuduh Rusia mengebom 5 buah hospital di Syria.

"Kami percaya perkara itu tidak boleh diterima dan ianya tidak melambangkan nilai Amerika. Saya berharap perkara ini tidak melambangkan posisi sebenar jabatan tersebut dan sepastinya ini juga bukan pandangan Setiausaha Negara sendiri... Kami tidak akan memulakan setiap hari kami dengan mengecam John Kirby. Akan tetapi saya percaya bahawa dia perlu didisplinkan oleh orang atasannya di atas apa yang dia lakukan dan bagaimana dia melakukannya," kata Lavrov.