3 Disember 2016 - 16:24
Ancaman Daesh Di Asia Tenggara Meningkat: Menteri Singapura

Menteri di Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam telah memberi amaran tentang peningkatan ancaman serangan pengganas di seluruh Asia Tenggara oleh kumpulan pengganas Daesh berikutan kekalahan yang mereka alami di Syria dan Iraq.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri di Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam telah memberi amaran tentang peningkatan ancaman serangan pengganas di seluruh Asia Tenggara oleh kumpulan pengganas Daesh berikutan kekalahan yang mereka alami di Syria dan Iraq.

K. Shanmugam membuat kenyataan itu di sebuah majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Asing pada hari Jumaat semalam. Beliau mengatakan bahawa seramai 1000 warga Asia Tenggara telahpun menyertai kumpulan pengganas tajaan negara asing itu di dalam kempen mereka di Syria dan Iraq.

Beliau juga mengatakan bahawa negara Singapura sedang mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan di negara itu dalam menangani ancaman-ancaman tersebut khusunya di kawasan sempadan pulau itu.

Menteri itu turut menyatakan bahawa kumpulan Daesh telah mengarahkan pengikutnya untuk melancarkan serangan di negara asal mereka jikalau tidak mampu untuk menyertai kumpulan itu di Syria ataupun di Iraq.