6 Disember 2016 - 15:26
Para Pengganas Gunakan Pembedilan Berkoordinat Serang Hospital Rusia Di Aleppo

Para pengganas dilaporkan telah melancarkan pengeboman berkoordinat ketika menyerang sebuah hospital bergerak milik tentera Rusia di Aleppo, Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Para pengganas dilaporkan telah melancarkan pengeboman berkoordinat ketika menyerang sebuah hospital bergerak milik tentera Rusia di Aleppo, Syria. Perkara itu dinyatakan oleh jurucakap Kremlin pada hari Selasa.

"Sudah tentu pengeboman itu dibuat secara teliti dan tepat. Perkara ini membuktikan bahawa para militan yang membedil kedudukan hospital bergerak Kementerian Pertahanan Rusia memiliki koordinatnya," kata Dmitry Peskov.

Rusia juga mengatakan bahawa pihaknya ingin melihat pendirian yang bertanggungjawab daripada pihak Barat berkaitan pengeboman hospital Aleppo.

"Kami kesal bahawa hanya Rusia sahaja yang cuba menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang meninggalkan kawasan timur Aleppo dan melepaskan diri daripada cengkaman militan. Kami mengalu-alukan pendirian yang lebih bertanggungjawab daripada sekutu kami di Barat berkaitan perkara ini," kata Peskov lagi.

Kementerian Pertahanan Rusia pada hari Isnin berkata bahawa pihak pemberontak Syria telah membedil sebuah hospital bergerak milik Rusia sekaligus membunuh seorang jururawat dan mencederakan dua yang lain di Aleppo.