22 Disember 2016 - 15:47
Warga Tunisia Suspek Utama Serangan Lori Di Berlin

Pihak Pendakwa Raya Jerman menamakan seorang warga Tunisia, Anis Amri, 24, sebagai suspek utama di dalam serangan lori ke atas orang awam yang berada di sebuah pasar Krismas yang terletak di bandar Berlin. Rentetan serangan yang berlaku pada hari Isnin lepas, 12 orang dilaporkan terbunuh dan 48 yang lain pula mengalami kecederaan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak Pendakwa Raya Jerman menamakan seorang warga Tunisia, Anis Amri, 24, sebagai suspek utama di dalam serangan lori ke atas orang awam yang berada di sebuah pasar Krismas yang terletak di bandar Berlin. Rentetan serangan yang berlaku pada hari Isnin lepas, 12 orang dilaporkan terbunuh dan 48 yang lain pula mengalami kecederaan.

Berikutan insiden tersebut, pejabat pendakwa raya telah menawarkan ganjaran yang mencecah 100,000 Euro (RM466,000) kepada sesiapa yang mampu memberikan maklumat yang akan membawa kepada penangkapan Amri.

Usaha giat juga sedang dijalankan bagi memburu Amri yang disifatkan sebagai bersenjata dan berbahaya. "Anis Amri mempunyai ketinggian 178 sentimeter dan berat 75 kilogram, berambut hitam dan mata coklat," menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya Persekutuan (GBA).

Polis sebelum ini telah menyerbu dua unit pangsapuri di kawasan kejiranan Kreuzberg di bandar raya itu tetapi gagal mengesan Amri di dalam kedua-dua serbuan tersebut.

Pihak penyiasat pula memberitahu akhbar Die Welt bahawa mereka percaya dia berada dalam salah satu pangsapuri tersebut sebelum kedatangan pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Jerman memberitahu Amri berada dalam pemerhatian mereka secara rahsia selama beberapa bulan pada tahun ini berikutan maklumat yang diterima daripada pihak agensi keselamatan persekutuan.

Pengawasan ke atasnya ditamatkan pada September lepas. Sementara itu, bapa Amri yang bercakap kepada radio Tunisia berkata bahawa Amri meninggalkan negaranya sejak tujuh tahun yang lalu sebagai seorang pendatang tanpa izin dan pernah merengkok di dalam sebuah penjara di Itali di atas pertuduhan membakar sekolah.

Menurut bapanya, Amri juga disyaki terbabit dalam rompakan ganas di Tunisia. Dia juga disoal siasat berkaitan kemungkinan anaknya mempunyai kaitan dengan pergerakan kumpulan pengganas Takfiri Daesh.