21 Januari 2017 - 15:17
Delegasi Iran Tiba Di Astana Untuk Dialog Syria

Kumpulan delegasi Iran telah tiba di ibu negara Kazakhstan, Astana untuk menyertai dialog yang bertujuan mencari penyelesaian kepada krisis Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kumpulan delegasi Iran telah tiba di ibu negara Kazakhstan, Astana untuk menyertai dialog yang bertujuan mencari penyelesaian kepada krisis Syria.

Delegasi yang diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Iran, Hossein Jaber-Ansari, delegasi Tehran tiba di Astana pada hari Sabtu.

Dialog 2 hari yang dianjurkan oleh Iran, Rusia dan Turki menglibatkan perwakilan daripada kerajaan Syria dan pihak pemberontak di mana mereka akan duduk semeja untuk mencari jalan keluar daripada krisis yang sudah hampir 6 tahun melanda negara Arab itu. Dialog itu dijangka akan dimulakan pada hari Isnin ini.

Delegasi Iran juga dijangka akan berbincang bersama rakan mereka dari Rusia dan Turki untuk mempermudahkan proses dialog itu.

Sebelum ini, beberapa siri dialog telah dilaksanakan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencapai objektif yang sama. PBB juga telah melantik wakil khas berkaitan isu Syria untuk mempermudahkan proses damai di sana dan setakat ini 3 buah dialog berasingan telah dianjurkan oleh badan itu. Akan tetapi, kesemua dialog itu gagal membuahkan hasil yang dikehendaki.

Kerjasama di antara Iran, Rusia dan Turki sebelum ini berjaya menghasilkan sebuah kesepakatan di dalam memindahkan para militan daripada kawasan barat laut Aleppo pada penghujung tahun lepas. Sebuah gencatan senjata juga berjaya dipersetujui di bandar itu dan ketika kesepakatan itu dihormati, perjanjian itu turut dikuatkuasakan di seluruh negara Arab itu.

Dialog Astana dijangka akan mengambil kira beberapa isu seperti penguatkuasaan gencatan senjata sedia ada, peperangan melawan pengganas dan juga pencariaan solusi politik untuk mengakhiri konflik berdarah di Syria.

Konflik di Syria bermula pada tahun 2011 apabila kumpulan bersenjata yang didanai oleh kerajaan asing memulakan operasi bersenjata mereka di bumi tersebut.