Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Iran mengutuk bedilan peluru berpandu dilancarkan Amerika Syarikat ke atas pangkalan udara tentera Syria hari ini, ketika Britain dan Australia menyatakan sokongan mereka.
Amerika melancarkan serangan itu berikutan dakwaan mereka bahawa Assad telah menggunakan senjata kimia di dalam serangan di Idlib.
Setakat ini tiada pihak yang dapat menyokong dakwaan bahawa kerajaan Assad telah melancarkan serangan kimia di Idlib yang mana serangan itu kemudiannya dijadikan alasan untuk mengesahkan tindakan mereka menyerang Syria.
Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, menyifatkan kempen ketenteraan itu sebagai tindak balas bersesuaian kepada penggunaan senjata kimia yang didakwa mereka telah digunakan oleh tentera Damsyik
Presiden Donald Trump mengarahkan serangan peluru berpandu terhadap pangkalan udara Syria, lokasi di mana mereka mendakwa serangan senjata kimia itu dilancarkan sambil mengisytiharkan bahawa beliau bertindak demi kepentingan keselamatan negara.
Dalam peningkatan dramatik campur tangan tentera AS di Syria, dua kapal tempur negara itu melancarkan puluhan peluru berpandu dari timur Laut Mediterranean ke pangkalan udara dikawal tentera rejim Presiden Bashar al-Assad sebagai reaksi kepada apa yang didakwa mereka sebagai serangan gas beracun oleh Damsyik ke atas wilayah dikuasai pemberontak Selasa lalu.
Syria menafikan secara mutlak penglibatan mereka di dalam serangan kimia itu sambil mengatakan bahawa pihak mereka tidak akan memperolehi sebarang keuntungan daripada tindakan seperti itu.
Iran mengecam serangan itu, agensi berita IRNA, memetik jurucakap Kementerian Luar sebagai berkata. "Iran mengutuk keras serangan sehala seumpama itu.
Langkah itu akan mengukuhkan kedudukan pengganas di Syria dan akan menyukarkan keadaan di negara itu dan rantau berkenaan," IRNA memetik Bahram Qasemi sebagai berkata.
Sementara itu, Turnbull berkata serangan menghantar mesej amat penting bahawa dunia tidak akan menerima penggunaan senjata kimia.
"Hukuman itu seimbang dan pantas. Kami menyokong AS dalam tindakan pantas itu," katanya tanpa membekalkan bukti di atas tuduhan Canberra ke atas Damsyik.
Rusia pula menganggap tindakan itu sebagai sebuah pencerobohan ke atas wilayah negara berdaulat yang merupakan salah satu daripada anggota sah PBB.
Menurut Kremlin, Organisasi berhubung Pelarangan Senjata Kimia (OPCW) sebelum ini turut mengesahkan bahawa angkatan tentera Syria tidak lagi memiliki sebarang senjata kimia.
"Fakta yang ada ialah OPCW telah merekod dan mengesahkan pemusnahan kesemua senjata kimia milik Syria," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
Kremlin turut mempertikaikan tindakan sesetengah pihak yang tidak mengendahkan penggunaan senjata kimia oleh kumpulan militan sambil menambah bahawa sikap sambil lewa terhadap perbuatan kumpulan militan hanya akan meningkatkan lagi ketegangan yang sedia ada. -Media