Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata bahawa rejim Tel Aviv akan terus merawat para militan yang tercedera di dalam usaha mereka untuk menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad.
Netanyahu berkata sedemikian ketika bercakap di dalam mesyuarat kabinet yang dilangsungkan di al-Quds pada hari Sabtu. Dia berkata bahawa Israel akan terus merawat para militan yang cedera sebagai sebahagian daripada "bantuan kemanusiaan" Tel Aviv.
Perdana Menteri Israel itu turut mengulangi sokongan rejimnya terhadap serangan peluru berpandu Amerika Syarikat ke atas pangkalan udara Syria.
Pentagon sebelum ini berkata bahawa 59 buah peluru berpandu Tomahawk telah dilancarkan ke atas pangkalan udara al-Sha'irat daripada dua buah kapal perang mereka yang beroperasi di lautan Medterranean pada 7 April lepas.
Amerika Syarikat menuduh bahawa tentera Syria telah melancarkan serangan kimia ke atas wilayah Idlib melalui pangkalan udara itu. Tiada bukti dibekalkan setakat ini untuk menyokong tuduhan mereka.
Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan terbunuh di dalam serangan itu, lapor agensi berita SANA.
Kementerian Luar Syria mengecam serangan A.S itu dan menganggapnya sebagai tindakan kekerasan terang-terangan ke atas negara Arab itu. Mereka turut mendakwa bahawa objektif sebenar Washington di dalam serangan itu adalah untuk melemahkan tentera Syria dalam kempen mereka ke atas keganasan.
Kementerian Luar Negara Rusia turut mengecam serangan itu dan memanggilnya sebagai sebuah tindakan kekerasan ke atas sebuah negara berdaulat.
Serangan Amerika Syarikat itu dilancarkan oleh mereka tanpa mendapat sebarang mandat PBB.
/315
9 April 2017 - 14:40
News ID: 822832
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata bahawa rejim Tel Aviv akan terus merawat para militan yang tercedera di dalam usaha mereka untuk menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad.