15 April 2017 - 14:11
'Korea Utara Sedia Perang Jika Itu Kemahuan Trump'

Timbalan Menteri Luar Korea Utara, Han Song Ryol berkata, Pyongyang bersedia untuk melancarkan 'serangan awal yang tersendiri', sekiranya Amerika Syarikat (AS), bertindak melulu terhadap negara mereka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Timbalan Menteri Luar Korea Utara, Han Song Ryol berkata, Pyongyang bersedia untuk melancarkan 'serangan awal yang tersendiri', sekiranya Amerika Syarikat (AS), bertindak melulu terhadap negara mereka.

Menerusi satu wawancara eksklusif semalam, Song Ryol berkata, Pyongyang sudah maklum mengenai corak pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang diandaikan sebagai 'lebih ganas dan lebih agresif' berbanding pentadbiran Barack Obama.

"Korea Utara akan terus membina senjata nuklear, dan kami sudah bersedia untuk berperang, sekiranya itu yang dimahukan Trump," petik kenyataannya, lapor The Associated Press.

Ketegangan antara AS dan Korea Utara semakin memuncak pada minggu ini apabila Pyongyang mengeluarkan beberapa ancaman untuk menghancurkan tentera AS dan sanggup berperang jika itu pilihan musuh.

Sebelum ini AS menyatakan kebimbangan bahawa Pyongyang mungkin mengadakan ujian nuklear keenam, sekali gus memberi ancaman kepada kestabilan serantau terutamanya Korea selatan dan Jepun dengan pembangunan nuklear negara komunis itu.