Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Angkatan Tentera Amerika Syarikat Korea (USFK) berkata, pada Selasa sistem pertahanan anti-peluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) yang dipasang di bahagian tenggara Korea Selatan minggu lepas sudah mula beroperasi, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut laporan, sistem yang ditempatkan di Seongju itu mampu untuk memintas peluru balistik di dalam ataupun di luar lapisan atmosfera ketika peluru itu mencapai fasa terakhir penerbangannya.
"Sistem THAAD mempunyai keupayaan menyekat ancaman peluru berpandu Korea Utara sekaligus dapat mempertahankan keselamatan Korea Selatan," menurut jurucakap USFK Rob Manning.
Pada 26 April, kira-kira 20 trak dan treler tentera Amerika Syarikat membawa peralatan THAAD tiba di kawasan padang golf di kampung Soseong-ri di Seongju di Wilayah Selatan Gyeongsang.
Penempatan THAAD di Korea Selatan menerima tentangan hebat negara serantau termasuk China dan Rusia kerana dilihat boleh menimbulkan perpecahan dan ketidakseimbangan strategik di rantau berkenaan.
Para pegawai China berkata bahawa penempatan sistem itu akan menganggu sistem radar mereka sekaligus menimbulkan ancaman ke atas keselamatan negara tersebut.
Langkah itu juga, menimbulkan bantahan dalam kalangan penduduk dan aktivis keamanan serta berlaku pertelingkahan antara penduduk dengan pihak polis.
Pada Isnin penduduk menyekat 30 bas yang membawa polis Korea Selatan ketika bas berkenaan cuba memasuki kawasan padang golf bagi membolehkan peralatan tambahan THAAD dibawa masuk. - Bernama/Media
2 Mei 2017 - 18:57
News ID: 827424
Angkatan Tentera Amerika Syarikat Korea (USFK) berkata, pada Selasa sistem pertahanan anti-peluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) yang dipasang di bahagian tenggara Korea Selatan minggu lepas sudah mula beroperasi, lapor agensi berita China Xinhua.