Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatullah Syed Ali Khamenei berkata bahawa Revolusi Islam yang dipimpin oleh pendahulunya, Ayatullah Syed Ruhullah Mousawi Khomeini telah memberikan identiti dan kemerdekaan kepada masyarakat Iran dengan menjatuhkan rejim zalim Pahlavi.
Ayatullah Khamenei membuat kenyataan itu di hadapan para hadirin yang menghadiri majlis memperingati hari ulang tahun ke-28 kematian pengasas kepada Republik Islam Iran, Ayatullah Syed Ruhullah Mousawi Khomeini.
Setelah menyifatkan kebesaran personaliti Imam Khomeini, Ayatullah Khamenei menekankan betapa pentingnya usaha untuk menghalang sebarang bentuk penyelewengan ke atas syakhsiah dan idea yang dikembangkan oleh pemimpin dunia itu. Beliau berkata bahawa perkara itu hanya boleh dicapai melalui proses mengulang kaji idea dan konsep yang dipandang mulia oleh pendahulunya itu.
"Jikalau sesuatu yang benar itu tidak ditalqinkan dengan segala bentuk perincian dan spesifikasi (yang wujud), perkara itu secara berperingkat akan diselewengkan. Kebanyakan kalian mengetahui bahawa terdapat pelbagai motivasi untuk menyelewengkan personaliti Imam dan revolusi itu sendiri. Revolusi yang merupakan ciri terbesar Imam (Khomeini) yang dihormati," kata Khamenei
Beliau kemudiannya mengingatkan para hadirin bahawa rahsia kejayaan pergerakan Imam Khomeini adalah kemampuan beliau untuk menggerakkan golongan muda ke dalam lapangan (revolusi) dan mengekalkan mereka di tempat yang sama.
Khamenei turut berkata kejayaan Imam Khomeini di dalam menarik perhatian golongan muda bergantung kepada idea yang yang diperjuangkan oleh beliau. Idea itu menurutnya adalah, kebebasan, keadilan sosial dan ekonomi serta kepentingan untuk menamatkan dominasi Amerika Syarikat ke atas (Iran dan dunia).
Pemimpin Tertinggi Iran itu turut mengatakan bahawa idea yang dibawa oleh Imam Khomeini bahkan dikagumi oleh golongan muda yang hidup di negara-negara yang dilihat taat kepada Amerika Syarikat seperti Arab Saudi.
Khamenei juga berkata bahawa pergerakan yang wujud di Iran sebelum pergerakan Imam Khomeini menemui kegagalan kerana penggeraknya meletakkan sasaran yang rendah sedangkan Imam Khomeini sentiasa menyasarkan sasaran yang paling maksimum apabila memulakan rangka kerja beliau. -ABNA24
/315
5 Jun 2017 - 01:02
News ID: 834298
Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatullah Syed Ali Khamenei berkata bahawa Revolusi Islam yang dipimpin oleh pendahulunya, Ayatullah Syed Ruhullah Mousawi Khomeini telah memberikan identiti dan kemerdekaan kepada masyarakat Iran dengan menjatuhkan rejim zalim Pahlavi.