Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Masyarakat antarabangsa telah mengecam keras serangan berkembar di Tehran yang dilancarkan oleh kumpulan pengganas Takfiri Daesh. Serangan yang menyebabkan beberapa orang terbunuh itu menyasarkan bangunan parlimen negara tersebut dan juga Makam Imam Khomeini.
Ketua Polisi Antarabangsa Kesatuan Eropah, Federica Mogherini menyampaikan takziahnya kepada pihak berkuasa Iran dan juga warga negara itu secara keseluruhan sambil mengatakan bahawa beliau akan berhubung dengan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif untuk berbincang berkaitan perkembangan terkini.
"Biar saya mulakan dengan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada para mangsa serangan yang kita saksikan di Tehran. Pada saat ini, kami sedang memantau secara teliti perkembangan di sana. Buat masa ini, situasi masih belum jelas... Sepastinya, hari ini sebuah hari yang sedih buat kami bahkan setiap kali berlaku serangan pengganas di mana-mana sahaja di dunia," kata beliau kepada para wartawan di Brussels pada hari Rabu.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin turut menyampaikan rasa takziah beliau kepada Presiden Iran, Hassan Rouhani. Beliau juga mengatakan bahawa pihaknya berharap bahawa mereka yang cedera akan segera sembuh.
Putin turut berkata bahawa serangan seperti itu mewajibkan peluasan kerjasama antarabangsa di dalam memerangi keganasan.
Sementara itu, Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri di dalam mesej yang berasingan kepada Ayatullah Khamenei dan Presiden Hassan Rouhani mengecam serangan itu dan berkata bahawa Iran akan terus berada di barisan hadapan di dalam kempen memerangi keganasan.
Perdana Menteri Itali, Paolo Gentiloni turut mengecam serangan itu dan menyatakan perihal pentingnya mencari strategi jangka panjang di dalam memerangi keganasan. -ABNA24
/315
8 Jun 2017 - 06:12
News ID: 835094
Masyarakat antarabangsa telah mengecam keras serangan berkembar di Tehran yang dilancarkan oleh kumpulan pengganas Takfiri Daesh. Serangan yang menyebabkan beberapa orang terbunuh itu menyasarkan bangunan parlimen negara tersebut dan juga Makam Imam Khomeini.