Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Arab Saudi memperkenalkan cukai baharu ke atas rokok dan minuman tenaga yang menyebabkan kenaikan harga sebanyak seratus peratus.
Cukai baharu itu mengakibatkan harga rokok dan minuman tenaga naik mendadak di seluruh negara itu. Menurut sesetengah laporan, harga minuman bersoda turut meningkat sebanyak lima puluh peratus.
Menurut Pihak Berkuasa Zakat dan Cukai Arab Saudi (GAZT), pengenalan cukai yang dipanggil sebagai "cukai dosa" itu bertujuan untuk menghalang pengguna daripada produk yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan sekaligus meningkatkan kos pembiayaan kesihatan yang pada waktu ini dibekalkan oleh kerajaan.
"Kami telah berhubung dengan sektor bisnes dan menganjurkan banyak bengkel kerja di GAZT dan dewan perniagaan dalam rangka memperkenalkan cukai pilihan selektif ini," kata jurucakap GAZY kepada Arab News.
Di bawah undang-undang baharu, sekotak rokok kini berharga sekitar USD 4 dan USD 6. Beberapa hari sebelum pengenalan cukai itu, para perokok di negara itu berusaha untuk membeli sebanyak mungkin produk itu sedangkan para penjual pula berusaha untuk menyembunyikan bekalan mereka sehingga harga baharu mula diperkenalkan ke atas rokok.
Berkaitan dengan minuman tenaga. produk itu kini dijual dengan tulisan amaran yang dicetak di dalam bahasa Arab dan Inggeris. "Produk ini tidak mengandungi sebarang manfaat kesihatan. Pengambilan lebih daripada dua tin sehari boleh mendatangkan kesan negatif ke atas kesihatan anda," baca amaran itu.
Menurut Arab News, amaran itu secara khusus menyasarkan mereka yang berusia 16 tahun ke bawah, perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, mereka yang mempunyai masalah jantung serta kumpulan-kumpulan berisiko yang lain.
"Menaikkan harga minuman tenaga adalah sesuatu yang baik kerana mereka yang menggunakan produk itu adalah golongan remaja dan perkara itu mendatangkan kesan buruk ke atas kesihatan mereka," lapor laman sesawang berita UAE, The National yang menukilkan komen seorang pelanggan, al-Rashid.
Arab Saudi kini bergelut dengan perjuangan untuk memperbaiki defisit belanjawan mereka yang dilaporkan berada pada angka USD 100 bilion pada tahun 2015. Ekonomi Riyadh yang bergantung kepada pasaran minyak antarabangsa berhadapan dengan cabaran getir berikutan kejatuhan harga sumber asli itu.
Di dalam masa yang sama, pembiayaan kempen berdarah mereka di Yaman turut mewujudkan kebocoran yang teruk di dalam belanjawan mereka. -ABNA24
/315
13 Jun 2017 - 06:24
News ID: 836146
Arab Saudi memperkenalkan cukai baharu ke atas rokok dan minuman tenaga yang menyebabkan kenaikan harga sebanyak seratus peratus.