28 Jun 2017 - 02:36
Tuntutan Kami Kepada Qatar Bukan Untuk Dirunding: Arab Saudi

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir bertegas bahawa senarai tuntutan negara-negara Arab ke atas pemerintah Qatar tidak boleh dirunding oleh Doha.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir bertegas bahawa senarai tuntutan negara-negara Arab ke atas pemerintah Qatar tidak boleh dirunding oleh Doha.

"Kami telah menyatakan pendapat kami, kami telah ambil langkah yang perlu dan kini perkara ini bergantung ke atas keinginan Qatar untuk mengubah sikap mereka. Sejurus selepas mereka berbuat demikian, perkara ini akan diselesaikan. Akan tetapi, jika mereka tidak berbuat demikian, mereka akan kekal terpulau," kata Jubeir pada hari Selasa semasa lawatannya ke Washington.

Jubeir turut menambah dengan mengatakan bahawa pemerintah Qatar tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya mereka mahu kembali ke Majlis Kerjasama Teluk Parsi.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain kesemuanya memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada 5 Jun lepas dengan menuduh bahawa Doha menyokong keganasan.

Sejurus selepas itu, blok yang diketuai oleh Riyadh mengeluarkan senarai tuntutan mereka kepada Qatar sebagai syarat untuk memulihkan kembali hubungan diplomatik mereka. Salah satu tuntutan itu ialah Qatar perlu memutuskan hubungan mereka dengan Republik Islam Iran.

Doha turut didesak oleh mereka untuk menutup Al Jazeera -sebuah rangkaian media yang bersifat kritikal ke atas pemerintahan monarki mutlak Arab Saudi-, menutup kem tentera Turki di negara Arab itu dan membayar pampasan berikutan kerosakan yang timbul akibat tindakan Qatar menyokong dan menaja keganasan.

Qatar diberi masa 10 hari -sejak 23 Jun- untuk mematuhi tuntutan tersebut. Doha sebelum ini mengatakan bahawa tuntutan itu bersifat tidak realistik. -ABNA24

/315