Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Rusia menyatakan kesiapan mereka untuk menjadi orang tengah di dalam krisis diplomatik di antara negara-negara Teluk jikalau diminta untuk berbuat demikian. Arab Saudi yang memimpin beberapa buah negara Arab lain telah memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar serta mengenakan sekatan pengangkutan darat, udara dan air ke atas negara kecil itu.
Menteri Luar Rusia, Serge Lavrov membuat kenyataan di atas di dalam sebuah temu ramah dengan saluran televisyen Kurdis, Rudaw.
"Kami berminat (untuk melihat) krisis ini dapat diatasi dengan mengambil kira kekhuatiran bersama dan penyelesaian yang boleh diterima oleh setiap pihak yang terlibat di dalam proses ini," katanya.
Krisis yang semakin parah itu bermula pada 5 Jun lepas apabila Arab Saudi, Bahrain, Emirah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar. Mereka menuduh Doha menyokong dan membantu keganasan dan berusaha untuk mewujudkan ketidakstabilan di rantau itu. Qatar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Di dalam rangka meningkatkan tekanan ke atas Qatar, Arab Saudi telah menutup sempadan daratnya dengan negara jirannya itu sekaligus menghalang penghantaran bekalan makanan ke negara tersebut.
Perkara itu disusuli dengan tindakan empat buah negara Arab yang menghantar senarai tuntutan mereka kepada Qatar. Senarai yang terdiri daripada 13 tuntutan itu turut menggesa Doha menutup rangkaian berita Al Jazeera dan mengarahkan penutupan kem tentera Turki yang berada di Qatar.
Pakatan pimpinan Riyadh turut menggesa Qatar mengecilkan hubungan mereka dengan Iran serta membayar ganti rugi kepada mereka.
Qatar bertindak dengan menolak tuntutan itu dan memanggilnya sebagai tidak realistik. Sebagai balasan, negara-negara tersebut berikrar untuk meningkatkan sekatan ke atas Doha.
Tindakan pakatan tersebut dikecam pelbagai pihak khususnya pertubuhan hak asasi manusia memandangkan perkara itu memusnahkan ribuan kehidupan dan memisahkan banyak keluarga. -ABNA24
/315
25 Julai 2017 - 14:29
News ID: 844181
Rusia menyatakan kesiapan mereka untuk menjadi orang tengah di dalam krisis diplomatik di antara negara-negara Teluk jikalau diminta untuk berbuat demikian. Arab Saudi yang memimpin beberapa buah negara Arab lain telah memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar serta mengenakan sekatan pengangkutan darat, udara dan air ke atas negara kecil itu.