Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah memperkenalkan sekatan baharu ke atas Iran berikutan apa yang didakwa oleh Washington sebagai "tindakan provokatif berterusan" Tehran termasuk ujian pelancaran roket oleh negara Republik Islam itu pada hari Khamis lalu.
Pejabat Kawalan Aset Asing memperkenalkan sekatan itu ke atas enam buah syarikat yang dimiliki atau dikuasai oleh Shahid Hemmat Industrial Group pada hari Jumaat.
Jabatan Perbendaharaan mendakwa bahawa syarikat tersebut adalah paksi utama di dalam program pembangunan sistem balistik negara Republik Islam tersebut. Iran pula berkata bahawa kesemua program balistiknya bersifat defensif.
Iran pada hari Khamis melancarkan roket pembawa Simorgh yang mana misinya adalah untuk membawa satelit negara tersebut ke orbit.
Menurut Agensi Berita Tasnim, pelancaran itu dilaksanakan di Pusat Angkasa Imam Khomeini. Simorgh yang dinamakan sempena nama burung mistik yang terdapat di dalam mitologi Parsi mempunyai kemampuan untuk membawa satelit seberat 250 kilogram ke orbit sejauh 500 kilometer.
Jabatan Perbendaharaan pada hari Khamis mengkritik pelancaran itu dengan mengatakan bahawa program itu mungkin telah mencabuli sebuah resolusi Majlis Keselamatan PBB.
A.S mengatakan bahawa pelancaran roket dan ujian peluru berpandu Iran telah mencabuli Resolusi 2231 PBB yang diterima pakai pada Julai 2015 untuk memperkukuhkan perjanjian Nuklear Tehran.
Tehran pula tegas mengatakan bahawa pelancaran tersebut dan ujian peluru berpandunya tidak pernah sama sekali mencabuli sebarang item di dalam resolusi PBB itu kerana kesemua perkara itu dibangunkan di atas doktrin meningkatkan keupayaan mempertahankan dirinya. -ABNA24
/315
29 Julai 2017 - 03:40
News ID: 844735
Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah memperkenalkan sekatan baharu ke atas Iran berikutan apa yang didakwa oleh Washington sebagai "tindakan provokatif berterusan" Tehran termasuk ujian pelancaran roket oleh negara Republik Islam itu pada hari Khamis lalu.