1 Ogos 2017 - 16:36
Israel Berusaha 'Meng-Yahudi-sasikan' SImbol-Simbol Islam Di Palestin: Hauzah Qom

Menurut Pusat Pengurusan Hauzah Ilmiah (pusat pengajian tinggi Islam) Negara Iran, rejim Israel sedang melancarkan program 'meng-Yahudi-sasikan' simbol-simbol agama Islam di bumi Palestin termasuk masjid al-Aqsa itu sendiri.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menurut Pusat Pengurusan Hauzah Ilmiah (pusat pengajian tinggi Islam) Negara Iran, rejim Israel sedang melancarkan program 'meng-Yahudi-sasikan' simbol-simbol agama Islam di bumi Palestin termasuk masjid al-Aqsa itu sendiri.

Perkara itu dinyatakan oleh badan tersebut melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka berhubung situasi terkini di Palestin dan juga di Masjid al-Aqsa.

"... rejim Zionis Israel sentiasa berusaha untuk meneruskan projek 'meng-Yahudi-sasikan' simbol-simbol (agama) Islam khususnya masjid al-Aqsa itu sendiri," baca kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, program rejim Israel itu turut merangkumi aspek-aspek psikologi dan kebudayaan warga Palestin.

"Sebelum ini, mereka juga telah berusaha untuk 'meng-Yahudi-kan' hati dan budaya para pemuda Palestin khususnya generasi yang hidup pada tahun 1948 dan 1967 melalui perkakasan materi dan kebudayaan," baca kenyataan itu lagi.

Walau bagaimanapun, kecekalan dan ketabahan warga Palestin yang luar biasa di dalam menghadapi cabaran itu telah berjaya menggagalkan perancangan jahat rejim Israel itu. Warga Palestin sehingga kini berjaya mempertahankan identiti dan kebudayaan Islam yang dimiliki oleh mereka, baca kenyataan itu.

Di dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari Ahad itu, mereka turut menggesa kesemua umat Islam termasuk para ulama, golongan pemimpin dan pemerintah dunia Islam dan Arab untuk bersatu di dalam mengecam jenayah rejim Israel ke atas warga Palestin. Mereka juga menggesa pihak terbabit untuk bersama-sama mencari penyelesaian jitu kepada masalah Palestin

Selain daripada itu, pihak pentadbiran institusi pengajian tinggi Islam Iran tersebut menyatakan kesiapan mereka untuk bekerjasama dengan para cendekiawan dan ulama dari dunia Islam di dalam mencari penyelesaian kepada krisis tersebut.

"Kami menyatakan kesediaan kami untuk bekerjasama dengan para ulama dan cendekiawan dari dunia Islam supaya (kita dapat) bersama-bersama berganding bahu dalam mencari penyelesaian asasi yang akan menyelesaikan krisis Palestin. Kita tidak boleh menyia-nyiakan peluang dan sekarang adalah waktu yang paling tepat untuk bekerjasama. Para ulama Muslim perlu hadir di kalangan umat Islam untuk menyatukan mereka di dalam menghadapi konspirasi para musuh khususnya konspirasi Zionis," baca kenyataan itu.

Badan pendidikan itu turut menyatakan terima kasih mereka kepada bangsa Palestin di atas penentangan yang mereka tunjukkan di dalam menghadapi perancangan jahat rejim Zionis. Kenyataan itu turut menyebut Syeikh Mujahid Sabri Ikrimah sebagai pemimpin warga Palestin yang giat menggerakkan mereka di dalam menentang Israel. -ABNA24

/315