7 September 2017 - 18:11
Trak Bantuan Tiba Di Bandar Deir ez-Zour

Puluhan trak yang membawa bantuan kemanusiaan tiba di bandar Deir ez-Zour dua hari selepas pasukan tentera Syria yang dibantu oleh para pejuang sukarelawan daripada kumpulan pertahanan awam berjaya memecahkan kepungan berusia tiga tahun oleh kumpulan pengganas Takfiri Daesh ke atas bandar itu. Tentera Arab Syria kemudiannya tiba di kawasan timur bandar itu yang selama ini dipertahankan oleh pasukan pro-Damsyik.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Puluhan trak yang membawa bantuan kemanusiaan tiba di bandar Deir ez-Zour dua hari selepas pasukan tentera Syria yang dibantu oleh para pejuang sukarelawan daripada kumpulan pertahanan awam berjaya memecahkan kepungan berusia tiga tahun  oleh kumpulan pengganas Takfiri Daesh ke atas bandar itu. Tentera Arab Syria kemudiannya tiba di kawasan timur bandar itu yang selama ini dipertahankan oleh pasukan pro-Damsyik.

Agensi berita rasmi Syria, SANA pada hari Khamis melaporkan bahawa 40 trak yang membawa komoditi asas seperti bahan bakar, makanan dan bekalan perubatan untuk penduduk awam bersama-sama dengan dua klinik bergerak telah memasuki bandar yang terletak sekitar 450 kilometer dari ibu kota Damsyik.

Sementara itu, terdapat sejumlah laporan yang menunjukkan bahawa para anggota tentera Syria telah berjaya merampas semula kawalan ke atas kawasan luas yang terletak berhampiran dengan pangkalan Briged 137 serta menawan semula jambatan al-Raqqah di sebelah barat Deir ez-Zour.

Puluhan anggota kumpulan pengganas Takfiri Daesh juga dilaporkan terbunuh ataupun mengalami kecederaan sepanjang operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh angkatan tentera Syria. Menurut laporan, terdapat banyak perkakasan ketenteraan pengganas yang turut musnah di dalam operasi tersebut.

Selain daripada itu, jet pejuang Tentera Udara Syria turut dilaporkan mengebom beberapa perhimpunan anggota kumpulan Daesh serta laluan bekalan mereka di bandar Ash Sholah sekaligus mengakibatkan ramai daripada mereka terbunuh.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas tentera kerajaan Syria, yang disokong oleh para pejuang dari kumpulan pertahanan awam berjaya merampas semula kawalan ke atas bandar Kobajeb yang terletak kira-kira 50 kilometer barat daya dari Deir az-Zour daripada kumpulan pengganas Daesh.

Sementara itu, sejumlah besar anggota kumpulan Takfiri Daesh termasuk anggota pasukan keamanan mereka yang turut dikenali sebagai polis agama -atau Hasba menurut dialek tempatan- telah melarikan diri dari bandar Gharanij. -ABNA24

/315