8 Oktober 2017 - 05:27
MPSP Pasang Papan Tanda Larang Alkohol Di Taman Awam

Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) meletakkan papan tanda melarang orang ramai daripada minum minuman keras atau alkohol di beberapa taman awam dan taman permainan di kawasan Prai dan Butterworth, Pulau Pinang.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) meletakkan papan tanda melarang orang ramai daripada minum minuman keras atau alkohol di beberapa taman awam dan taman permainan di kawasan Prai dan Butterworth, Pulau Pinang.

Papan tanda itu dinaikkan di 5 lokasi kelmarin sebagai amaran kepada orang ramai bahawa menjadi 1 kesalahan untuk mengambil alkohol di kawasan awam, di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan menyebabkan gangguan awam, lapor The Star.

Papan tanda itu juga menggesa orang ramai menelefon balai polis terdekat jika mereka melihat sesiapa melakukan kesalahan tersebut.

“Tiga papan tanda ditempatkan di Butterworth iaitu Taman Bagan Baru, Taman Ria dan Taman Jawa manakala 2 lagi di Taman Supreme dan Taman Prai Utama, Prai,” kata ahli majlis MPSP, David Marshel.

Beliau berkata tindakan itu diambil berikutan aduan orang ramai tentang gangguan yang disebabkan oleh mereka yang mengambil alkohol di taman-taman awam dan permainan kanak-kanak.