26 Oktober 2017 - 19:15
Tindakan Beku Keputusan Referendum Kurdistan Tidak Mencukupi: Turki

Pentadbiran Turki berkata bahawa tawaran Kerajaan Wilayah Kurdistan (KRG) untuk membekukan keputusan referendum pemisahan wilayah itu daripada Iraq tidak mencukupi sambil berkata bahawa tindakan itu tidak memadai untuk memulihkan kerosakan yang telah diakibatkan oleh referendum tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pentadbiran Turki berkata bahawa tawaran Kerajaan Wilayah Kurdistan (KRG) untuk membekukan keputusan referendum pemisahan wilayah itu daripada Iraq tidak mencukupi sambil berkata bahawa tindakan itu tidak memadai untuk memulihkan kerosakan yang telah diakibatkan oleh referendum tersebut.

"Adalah penting bahawa pihak pentadbiran wilayah utara Iraq untuk memperlahankan rentak mereka. Akan tetapi perkara itu tidak mencukupi. Referendum itu perlu dibatalkan sepenuhnya," kata Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu di dalam sebuah sidang akhbar yang berlangsung di Ankara pada hari Khamis.

Turki yang merupakan bekas sekutu kuat KRG kini cuba memperbaiki hubungan mereka dengan pentadbiran Baghdad dengan mengutuk referendum 25 September itu. Ankara sebelum ini menentang keras sebarang usaha untuk mewujudkan sebuah negara Kurdis di sempadannya.

Tindakan penganjur referendum itu mengundang kritikan keras daripada pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat memandangkan perkara itu mampu mewujudkan ketidakstabilan di Iraq dan Timur Tengah secara keseluruhan.

Pemimpin KRG, Massoud Barzani pada hari Rabu akhirnya akur kepada tekanan dengan "mengusulkan pembekuan keputusan referendum... dan memanggil kesemua pihak untuk kembali ke meja rundingan" berasaskan perlembagaan.

Tawaran itu dibuat selepas kumpulan bersenjata Kurdis kehilangan kawalan ke atas wilayah Kirkuk yang kaya dengan minyak selepas dirampas kembali oleh tentera Iraq dan sekutu mereka. -ABNA24

/315