28 Oktober 2017 - 17:21
Siasat Tentera Belasah Tahanan Di Marawi

Tentera Filipina memulakan siasatan rakaman video menunjukkan sekumpulan tentera menendang dan menumbuk suspek militan di Marawi, Mindanao, yang dipercayai berlaku selepas perang di bandar itu berakhir.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Filipina memulakan siasatan rakaman video menunjukkan sekumpulan tentera menendang dan menumbuk suspek militan di Marawi, Mindanao, yang dipercayai berlaku selepas perang di bandar itu berakhir.

Rakaman video itu yang disiarkan televisyen GMA semalam, menunjukkan suspek yang berlumuran lumpur, hanya berseluar pendek, dikelilingi tentera di Marawi.

Ketika suspek dibawa pergi dengan tangannya dikilas ke belakang, sekumpulan tentera meluru ke arahnya, menumbuk dan menendang dengan seorang menjerit: “Kamu bunuh ramai orang, bahlul!”

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Restituto Padilla, berkata siasatan terhadap rakaman itu sedang dilakukan.

“Tentera amat tegas dengan layanan terhadap tahanan ketika konflik.

“Tahanan sepatutnya dilayan dengan baik, bukan seperti dalam kes ini,” katanya.

Rakaman video itu muncul sebaik tentera Filipina mengisytiharkan Isnin lalu, perang di Marawi berakhir, selepas lima bulan ia tercetus.

Perang itu menyebabkan kematian 920 militan, 165 anggota pasukan keselamatan, dan 42 orang awam.

Padilla yang menganggap kejadian itu kes terpencil, menegaskan pihaknya tidak cuba menyembunyikannya.

Menurutnya, hasil siasatan akan diumumkan kepada awam namun beliau juga merayu semua pihak memahami keadaan ketika kejadian dengan emosi dalam kalangan tentera yang kehilangan rakan setugas. -AFP