Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata bahawa rejim tersebut memiliki hubungan "rahsia" yang "membuahkan hasil" dengan kerajaan negara-negara Arab sambil menambah bahawa pada akhirnya perdamaian akan wujud di antara negaranya dan negara-negara Arab.
"Kerjasama yang membuahkan hasil di antara kami dan negara-negara Arab secara umumnya adalah sebuah rahsia. Akan tetapi, saya yakin bahawa hubungan (kami) dengan mereka akan terus matang dan ini akan membolehkan kami untuk memperluaskan lingkaran perdamaian," kata Netanyahu pada hari Khamis di dalam sebuah ucapan yang dibuat untuk menandakan hari ulang tahun ke-44 kematian pengasas rejim Israel, David Ben Gurion.
"Para penduduk di negara-negara jiran akan bekerjasama dengan kita kerana jika tidak demikian, mereka akan terpaksa bekerjasama dengan para 'pedagang hamba' asing," tambahnya.
Israel sebelum ini telah memanggil pihak terbabit untuk membentuk barisan bersama dengan negara-negara Arab dan Muslim dalam rangka menghadapi Iran.
Ketua turus tentera rejim, Leftenan Jeneral Gadi Eizenkot sebelum ini turut menyatakan kesediaan rejim "untuk bertukar pengalaman dan maklumat perisikan dengan negara-negara Arab dalam rangka menghadapi Iran."
Rejim Tel Aviv setakat ini tidak memiliki hubungan diplomatik rasmi dengan negara-negara Arab melainkan Jordan dan Mesir.
Beberapa negara Arab juga sebelum ini telah menyatakan pendirian mereka secara jelas bahawa sebelum sebarang hubungan dengan Israel dimulakan, rejim tersebut perlu memulangkan kesemua wilayah yang mereka duduki selepas perang enam hari pada tahun 1967.
Kenyataan terkini Netanyahu secara jelas menunjukkan betapa kerajaan negara-negara Arab terpisah dengan kehendak warga awam mereka sendiri.
Terdapat pelbagai laporan juga yang menyatakan bahawa Arab Saudi sedang merancang untuk memulihkan hubungan dengan rejim Israel di sebalik risiko yang wujud daripada warga awam yang berang dengan tindakan itu.
Di dalam sebuah ucapan berasingan pada hari Khamis, Netanyahu turut berkata bahawa perdamaian di antara Israel dan negara-negara Arab memiliki rintangan yang datang daripada warga awam negara-negara tersebut dan bukan daripada pemimpin mereka. -ABNA24
/315
24 November 2017 - 03:24
News ID: 868734
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata bahawa rejim tersebut memiliki hubungan "rahsia" yang "membuahkan hasil" dengan kerajaan negara-negara Arab sambil menambah bahawa pada akhirnya perdamaian akan wujud di antara negaranya dan negara-negara Arab.