Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah kereta api khas Korea Utara yang dipercayai membawa satu rombongan peringkat tinggi negara itu meninggalkan Beijing hari ini.
Memetik tiga sumber, agensi berita Bloomberg sebelum ini melaporkan rombongan Korea Utara yang melawat ibu kota China itu termasuk pemimpin, Kim Jong-un.
Bagaimanapun, sehingga kini China belum mengesahkan atau menafikan laporan itu.
Kereta api khas Korea Utara yang dilaporkan membawa Jong-un tiba di Beijing lewat malam semalam.
Sekiranya laporan itu terbukti benar, ia merupakan lawatan Jong-un yang pertama ke luar negara sejak menjadi pemimpin ulung Korea Utara pada 2011.
Bagaimanapun satu sumber kepimpinan China memberitahu agensi berita Reuters, Jong-un mungkin tidak menyertai lawatan itu tetapi adik perempuannya, Kim Yo-jong.
Media Korea Selatan pula menyatakan Yo-jong berada di Beijing bersama pemimpin kanan Kim Yong-nam.
Mereka melawat Korea Selatan bulan lalu semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk.
Tujuan lawatan rombongan Korea Utara ke Beijing juga belum diketahui tetapi ia dilakukan menjelang sidang kemuncak dua negara Korea bulan depan dan kemungkinan sidang kemuncak Amerika Syarikat dengan Korea Utara pada Mei nanti. - AFP
27 Mac 2018 - 16:52
News ID: 887166
Sebuah kereta api khas Korea Utara yang dipercayai membawa satu rombongan peringkat tinggi negara itu meninggalkan Beijing hari ini.