27 November 2018 - 18:22
Kes Bunuh Khashoggi: Dua Vila Diperiksa

Pihak berkuasa Turki, semalam memeriksa sebuah vila milik seorang warga Arab Saudi di wilayah barat laut negara itu untuk mencari mayat wartawan terkenal, Jamal Khashoggi yang dibunuh kejam di Konsulat Riyadh di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak berkuasa Turki, semalam memeriksa sebuah vila milik seorang warga Arab Saudi di wilayah barat laut negara itu untuk mencari mayat wartawan terkenal, Jamal Khashoggi yang dibunuh kejam di Konsulat Riyadh di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Agensi berita Anadolu melaporkan pemeriksaan dilakukan ke atas bangunan dua tingkat di daerah Termal di Yalova itu turut dibantu anjing pengesan dan dron.

"Agensi penguatkuasaan undang-undang itu turut meluaskan kawasan carian dan siasatan ke vila bersebelahan. Pasukan penyiasat telah memeriksa perigi di vila pertama di perkampungan Samanli yang mana jentera bomba dapat dilihat di lokasi tersebut," jelas laporan itu.

Dalam satu kenyataan, pendakwa raya Istanbul memaklumkan vila pertama dimiliki lelaki Saudi yang dipercayai ada berhubung dengan salah seorang suspek pada 1 Oktober lalu.

"Kami percaya mereka ada berbincang tentang cara untuk menghapuskan atau menyembunyikan mayat kolumnis The Washington Post itu selepas tubuhnya dikerat-kerat. Maklumat yang kami terima itu membawa kepada pemeriksaan ini," menurutnya.

Pemeriksaan terbaharu itu dilakukan lebih dua minggu selepas akhbar prokerajaan, Sabah Daily melaporkan sampel diambil dari parit konsulat itu menunjukkan kesan asid.

Awal bulan lalu, Presiden Recep Tayyip Erdogan memberitahu beliau telah memberikan rakaman audio tentang pembunuhan Khashoggi kepada Saudi, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan Britain.

Rakaman tersebut didakwa menjadi bukti pengkritik lantang Putera Mahkota Mohammed Salman itu dicekik dan tubuhnya dikerat-kerat. - Press TV