Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Warga Muslim di Pakistan bersama-sama dengan para pemimpin agama lain menganjurkan majlis maulid Nabi Muhammad s.a.w yang dijangka berlangsung selama seminggu di negara tersebut.
Majlis tersebut dianjurkan ketika pasukan keselamatan negara itu sibuk memerangi keganasan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Imran Khan.
Mereka menyalakan 30,000 pelita yang diperbuat daripada tanah liat sebagai simbol untuk memperingati Nabi Muhammad s.a.w dan warga Pakistan yang terbunuh di tangan pengganas.
Pertemuan yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat itu dilihat sebagai usaha untuk memupuk nilai toleransi di negara yang dicengkam dengan keganasan yang mengatasnamakan agama dan mazhab.
Figur Nabi Muhammad s.a.w yang terkenal dengan nilai toleransi dan keamanan pula dilihat sesuai untuk dijadikan simbol perpaduan kepada penganut pelbagai agama dan mazhab yang berbeza di Pakistan.
Penganut ajaran Hindu, Kristian dan Islam -daripada pelbagai mazhab- dilaporkan menyertai majlis tersebut dalam rangka untuk menyokong sebarang usaha yang dilihat mampu memperkukuhkan fabrik masyarakat Pakistan dan dalam masa yang sama membentuk kepercayaan di antara satu sama lain.
Pada tahun ini, hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dan Guru Nanak -pemimpin maknawi ajaran Sikh- jatuh pada tarikh yang sama sekaligus memberi peluang kepada para peserta untuk lebih saling mengenali para pemimpin agung tersebut dengan lebih lanjut di sebalik perbezaan akidah dan gaya hidup.
Para pemimpin yang hadir di dalam majlis itu turut menekankan mesej penting yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Penganjur majlis turut menjemput sekumpulan bekas ekstremis ke majlis tersebut untuk meningkatkan harapan bangsa kepada kewujudan negara yang penuh toleransi dengan membawakan kisah-kisah kejayaan mereka menukar arah tuju kehidupan.
Minggu perpaduan diperkenalkan oleh bekas Pemimpin Revolusi Iran, Ayatullah Khomeini yang bertujuan untuk mendekatkan penganut pelbagai mazhab Islam dibawah panji kenabian universal yang turut menjadi titik sepunya kesemua umat Islam. - Agensi
10 November 2019 - 17:36
News ID: 987078
Warga Muslim di Pakistan bersama-sama dengan para pemimpin agama lain menganjurkan majlis maulid Nabi Muhammad s.a.w yang dijangka berlangsung selama seminggu di negara tersebut.